Tuesday, March 29, 2011

Mati ditikam ayah mabuk


SERDANG: Angkara menegur bapa yang dipercayai mabuk dan berbogel di depan rumah, seorang pekerja kilang berusia 20-an maut selepas ditikam orang tuanya itu dalam kejadian di rumah mereka di Bandar Sungai Emas, Banting, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Razak Kumar meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah ditikam di dada.
Difahamkan, bapa mangsa berusia lewat 40-an baru pulang ke rumah dalam keadaan mabuk sebelum bertindak menanggalkan pakaiannya menyebabkan mangsa menegur perbuatan bapanya itu.

Namun, padah menimpa apabila bapanya itu menikam Razak menggunakan pisau.

Setakat ini, polis masih belum dapat mengesahkan dari mana suspek mendapat pisau berkenaan, malah senjata itu juga tidak ditemui di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, bapa mangsa naik berang sebaik ditegur lalu bertindak menikam dada anaknya itu dengan pisau.

“Akibat tikaman itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Suspek yang menyedari kejadian itu bertindak melarikan diri. Kejadian itu hanya dimaklumkan orang awam kepada polis kira-kira jam 9 malam.

“Polis bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini semalam.

Menurutnya, Mohd Adnan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Beliau berkata, suspek yang melarikan diri ditangkap kira-kira jam 11 pagi semalam di sebuah stesen minyak di Teluk Panglima Garang, kira-kira 15 kilometer dari tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari mulai semalam.

Dirempuh kereta dalam rumah


BEGINI...Azrin menunjukkan tempat mangsa diseret kereta terbabit, semalam.

HULU BERNAM: Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) warga Indonesia dikenali sebagai Istiarsyah, 26, parah selepas dirempuh kereta yang terbabas dan memasuki ruang tamu rumah sewanya, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang ketika mangsa bersiap sebelum keluar dari rumahnya di Jalan Bahtera 5A, di sini, untuk ke kuliah sesi petang.
Mangsa melecur di badan dan kaki serta cedera di muka dan tangan selepas terperosok di bawah Perodua Kancil dipandu seorang pelajar wanita di universiti sama.

Saksi kejadian yang juga jiran mangsa, Mohd Azrin Mat Rais, 32, berkata dia terkejut apabila mendengar dentuman kuat dari rumah berkenaan.

“Saya bergegas keluar dan melihat sebuah kereta dinaiki lima pelajar wanita berada di dalam rumah selepas merempuh pintu besi dan kaca rumah berkenaan.

“Lebih mengejutkan apabila melihat seorang lelaki tersepit di bawah kereta terbabit sambil meraung kesakitan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Azrin berkata, ketika kejadian Istiarsyah melangkah keluar di depan pintu rumah untuk ke bilik kuliah.

Bagaimanapun, rempuhan kereta itu menyebabkan mangsa terseret hingga ke dinding dapur rumah dan cedera akibat terkena serpihan kaca dan melecur akibat ditindih badan dan ekzos kereta.

Menurutnya, rakan serumah dan jiran membantu mengeluarkan mangsa sebelum mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Tanjung Malim (KKTM) dan kemudian dirujuk ke Hospital Slim River (HSR).

Katanya, rumah mangsa turut didiami tiga pasangan suami isteri warga Indonesia yang masih belajar di universiti sama.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit, Nabilah Izzati Ayub, 20, bersama empat pelajar wanita berkenaan cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian pemandu kereta terbabit membuat pusingan U di laluan berkenaan, namun tertekan pedal minyak lalu meluru masuk ke dalam rumah mangsa.

“Mangsa dirempuh dan tersepit di bawah kereta. Akibatnya mangsa melecur di perut dan paha.

“Keadaan mangsa dilaporkan stabil,” katanya.

Monday, March 28, 2011

Kebas wang atuk RM65,000


JOHOR BAHRU: Dia dijadikan cucu angkat dan ditatang bagai minyak yang penuh, namun segala jasa datuknya dibalas dengan pengkhianatan apabila melesapkan wang pencen milik warga emas itu berjumlah RM65,000.
Lebih memilukan Yasin Sagi, 80, dari Kampung Majidee Baru, di sini, cucu angkatnya yang dipanggil nama Gemuk, 30-an menipunya dengan mendapatkan cap jarinya ketika menemaninya melakukan urusan di bank.

Yasin yang mengalami masalah pendengaran berkata, Gemuk tinggal di Stulang, tidak jauh dari rumahnya dan sering mengunjunginya, selain ringan tulang.
“Dia menggelar saya ‘Atuk’ dan kerana itu saya menjadikannya cucu angkat. Keluarga saya juga menyenangi sikapnya yang tidak berkira selain gemar membantu.

“Rupa-rupanya itu semua helahnya untuk mencuri duit saya. Kini semua wang hasil titik peluh sepanjang 30 tahun bertugas di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) lesap,” katanya.

Yasin berkata, dia menyedari Gemuk mencuri duitnya selepas menerima rekod pengeluaran wang di bank antara 23 Disember tahun lalu hingga 4 Januari lalu.
Menurutnya, sebelum kejadian itu, Gemuk menemaninya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta sebuah bank di Larkin Perdana untuk membuka buku akaun simpanan bank.

“Pada 23 Disember, Gemuk membawa saya ke cawangan bank di Jalan Wong Ah Fook mengeluarkan RM2,000 bagi membeli baja. Gemuk kemudian membuat permohonan mendapatkan kad ATM (mesin juruwang automatik) atas nama saya tanpa pengetahuan saya.
“Saya yang kurang tahu prosedur bank hanya mengikut permintaannya apabila dia meminta cap jari pada satu borang,” katanya.

Menurutnya, dengan kad ATM itu Gemuk membuat beberapa pengeluaran antara 23 Disember tahun lalu dan 4 Januari lalu, sehingga semua wang pencennya RM65,000 di dalam akaun habis.

Yasin berkata, dia hanya menyedari wang pencennya licin selepas dimaklumkan menantu, Ungku Chik, 40-an, selepas menerima makluman dari bank mengenai rekod pengeluaran wang menggunakan kad ATM dengan jumlah maksimum RM5,000 setiap hari secara berterusan selama dua minggu.

“Sejak itu, Gemuk menghilangkan diri. Saya tidak sangka dia menipu dan mencuri duit saya,” katanya. Yasin turut kecewa dengan pengurusan bank berkenaan yang memberi kebenaran kepada individu lain bagi membuat urusan permohonan kad ATM.

Yasin membuat laporan di Balai Polis Majidee pada 4 Januari lalu dan jurucakap balai polis berkenaan mengesahkan menerima laporan itu.

“Kami masih menjalankan siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Gemuk menghubungi talian 07-2212999 atau 07-2254422,” kata jurucakap itu.

Sunday, March 27, 2011

‘Pinggul Fasha menggoda’ APALAH NAK JADI DENGAN HARIAN METRO!




FASHA... kuasai undian dengan 14.76 peratus

KUALA LUMPUR: Istilah seksi dan artis seakan tidak dapat dipisahkan dalam industri seni, sama ada di Hollywood, Bollywood atau di negara kita.
Berikutan itu, Metro Ahad terpanggil untuk menjalankan satu kajian bagi mencari ‘5 Artis Paling Seksi’ tanah air melalui laman web rasmi Kumpulan Harian Metro, MyMetro, bermula 7 Mac lalu.

Pilihan lima artis paling seksi dan panas itu membabitkan 29 selebriti wanita dalam negara. Sejak carta undian ini dikeluarkan, maklum balas yang diterima daripada peminat seni dan pembaca akhbar ini cukup memberangsangkan dengan kira-kira 2,000 pembaca melakukan undian.
Setakat ini, pelakon penuh kontroversi, Fasha Sandha masih menduduki tempat pertama carta undian. Pada minggu pertama, undian teratas mulanya memihak Rozita Che Wan. Namun, nama Fasha membuat kejutan pada minggu berikutnya apabila mendahului semua artis lain dengan rating sebanyak 14.76 peratus sehingga kelmarin.

Kedudukan carta berkenaan sentiasa berubah, namun setakat ini populariti pelakon filem Anak Halal dan Evolusi KL Drift itu masih belum dapat ditandingi. Rozita terus mengikut rapat di belakang Fasha, itupun perbezaan rating antara kedua-dua selebriti popular ini tidak jauh. Setakat ini, Rozita mendapat undian 10.31 peratus, dan hanya 4.45 peratus di belakang Fasha. Rozita satu- satunya artis berusia dan berstatus janda dalam senarai lima artis teratas.

Tiga artis lain dalam senarai lima teratas adalah Zila Bakarin, Rabecca Nur dan Jue Aziz. Rating ketiga-tiga artis ini sangat jauh tertinggal di belakang Fasha dan Rozita. Zila Bakarin menduduki tangga ketiga senarai dengan undian sebanyak 6.41 peratus. Tuah banyak menyebelahi pelakon lama ini dan lebih membanggakan Zila tidak pernah terkeluar daripada rating lima terbaik dalam carta. Agak mengejutkan, Rebecca Nur Al Islam menduduki carta keempat gadis paling seksi. Sekalipun sudah bergelar isteri kepada seorang usahawan, ternyata popularitinya masih belum merudum.
Pelakon muda berusia 25 tahun ini mendapat undian sebanyak 4.19 peratus manakala kedudukan kelima milik Jue Aziz dengan undian sebanyak 3.27 peratus.

Dalam senarai berikutnya, jika dikira mengikut rating ke enam hingga 10, pembaca MyMetro memilih Nora Danish (3.11 peratus), Nur Fazura (3.09 peratus), Ayu Raudhah (3.09 peratus), Zarina An Julie (2.91 peratus) dan Marsha (2.43 peratus).
Nama artis lain yang turut tersenarai dalam carta undian terbabit ialah Maya Karin, Faradhiya, Diana Danielle, Scha Al-Yahya, Lisa Surihani, Nita Hamzah, Nasha Aziz, Tiz Zaqyah, Natasha Hudson, Sarimah Ibrahim, Miz Nina, Mimi One Nation Emcee, Juliana Evans, Yasmin Khanif, Maria Farida, Dayang Nurfaizah, Azharina, Watie Elite dan Julia Ziegler. Berhubung penyiaran undian ‘5 Artis Paling Seksi’ ini, pelbagai reaksi dan persepsi daripada peminat dunia seni tempatan, terutama di kalangan pembaca Harian Metro dan Metro Ahad.

Menurut seorang pembaca, Fauzi Latif, 30, sekalipun Fasha tidak pernah kering dengan pelbagai kontroversi, tidak dinafikan pelakon terbabit pandai menjaga penampilan.

“Artis macam Fasha ada pakej menarik. Saya suka melihatnya ketika dia tampil di khalayak, terutama di media.

“Dia ada rupa yang cantik dan pandai pula bergaya. Mata dan pinggul Fasha memang menggoda,” katanya.

Dalam senarai lima artis paling seksi pada mata Fauzi, selain memilih Fasha Sandha sebagai artis paling sesuai dengan jolokan itu, dia turut memilih Tiz Zaqyah, Faradhiya, Rozita Che Wan dan Nasha Aziz.

Bagi Muhammad Ashraf, 36, dia meminati Fasha bukan saja kerana paras rupa pelakon berkenaan, bahkan daripada segi penampilan serta cara percakapan yang cukup menggoda dan manja.

“Apabila Fasha tampil di kaca televisyen, gaya pertuturannya berada dalam kelas tersendiri. Dia memang menggoda dan manja, lelaki yang mengenalinya mesti cair.

“Apapun, bagi pendapat saya, artis seksi tidak semestinya dinilai daripada segi kecantikan dan cara berpakaian. Seperti Nasha Aziz, dia tidak perlu berpakaian seksi tetapi dirinya itu sendiri secara semula jadi sudah seksi,” katanya yang memilih Fasha Sandha, Nasha Aziz, Maya Karin, Faradhiya dan Sarimah Ibrahim sebagai artis paling seksi.

Selain itu, Nur Farahliza Azman, 29, pula berpendapat pemilihan Fasha di kalangan pembaca Harian Metro mungkin disebabkan dengan gosip panas yang menaikkan namanya kebelakangan ini. Bagi Farah, artis paling seksi sepatutnya diberikan kepada Rozita Che Wan.

“Pada pendapat saya, Rozita lebih seksi dan tubuh badannya lebih menggiurkan lelaki. Saya yang juga seorang wanita mengimpikan untuk memiliki tubuh badan sepertinya.

“Namun, secara jujur, istilah seksi tidak terletak kepada tubuh badan dan pakaian semata-mata sebaliknya ia perlu diukur daripada pelbagai segi seperti gaya percakapan, cara berpakaian dan sebagainya.

“Begitupun, tidak semua yang berpakaian terdedah sana sini boleh digelar seksi. Bagi saya, seksi itu adalah sesuatu yang subjektif,” katanya.

MyMetro masih mengekalkan undian ‘5 Artis Paling Seksi’ dalam MyMetro. Kepada pembaca yang ingin memberi sokongan pada artis kesayangan anda, sila buat undian anda dan layari laman web www.hmetro.com.my.

Wednesday, March 23, 2011

ADAKAH ANDA TERASA PELIK?


ENGLAND - Sekumpulan monyet di Taman Safari Longleat diberi sebuah kereta Mercedes-Benz lama untuk dimusnahkan dan aksi mereka dirakam sebelum disiarkan menerusi satu klip video di laman web YouTube, baru-baru ini.

Sebanyak 100 ekor monyet daripada spesies beruk itu kelihatan seperti mahu menanggalkan kereta itu dengan mencabut cermin sisi dan tayar kereta tersebut. Sebuah beg pakaian di atas bumbung kereta pula, turut dimusnahkan.
Menurut kakitangan safari, monyet-monyet tersebut sudah dua tahun tidak melakukan kerja memusnahkan kereta kerana safari itu ditutup untuk kerja-kerja membaik pulih.
Jadi, mereka mengambil keputusan untuk memberi layanan istimewa kepada monyet-monyet nakal itu sebelum pembukaan semula safari tersebut pada hujung minggu ini.

Sunday, March 20, 2011

Dengar bunyi pelik



TERBALIK... bas pesiaran yang terbalik dalam kemalangan berhampiran Tol Simpang Ampat, awal pagi semalam.

ALOR GAJAH: “Saya dengar bunyi pelik di luar tapi tidak syak apa-apa sebelum terasa bas bergegar dan terhoyong-hayang lalu merempuh penghadang tengah lebuh raya dan terus melencong ke kiri jalan.”
Begitu kata penumpang bas pesiaran, Shibli Sabtu, 26, selepas bas dinaiki bersama lapan penumpang lain terbalik di Kilometer 214.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan, kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.
Dalam kejadian itu, semua penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru itu berdepan detik mencemaskan apabila bas dipandu lelaki berusia awal 30-an hilang kawalan sebelum terbabit dalam kemalangan.

“Ketika leka bermain telefon bimbit, tiba-tiba bas merempuh sesuatu dengan kuat sebelum senget ke kanan. Rakan saya pula tercampak ke lantai bahagian depan.

“Saya dengar penumpang menjerit dan meraung ketakutan selepas bas terbabas ke kiri sebelum terbalik ke kanan dan terseret, mengakibatkan sembilan penumpang lain tercampak dari tempat duduk,” kata penuntut pusat pengajian tinggi awam itu.

Katanya, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila perjalanan yang dijadualkan jam 12.40 tengah malam dari Perhentian Bas Bukit Jalil ditangguhkan ke jam 1 pagi akibat hal yang tidak dapat dielakkan. Malah bas juga dirasakan tidak stabil kerana halajunya berubah-ubah.

Seorang lagi penumpang, Azlan Abdullah, 46, berkata pemandu lewat memulakan perjalanan kira-kira 30 minit daripada masa dinyatakan dan berhenti di Hentian Sebelah Nilai.

“Selepas memandu 30 minit, sekali lagi pemandu berhenti di Hentian Sebelah Senawang untuk menghilangkan mengantuk dan meneruskan perjalanan 10 minit kemudian sebelum terbabit kemalangan,” katanya.

Katanya, ketika kejadian kebanyakan mereka terlelap dan dia tersedar apabila bas dirasakan senget sebelum terbalik dan terseret sejauh 50 meter.

“Saya cuba pegang tempat duduk depan dengan kuat tapi tetap tercampak. Keadaan huru hara kerana ramai penumpang tercampak dari tempat duduk.

“Saya cuba tendang cermin depan dengan harapan kami semua tidak terperangkap di dalam bas tapi tidak berjaya.

“Kemudian saya cuba membuka pintu kecemasan di atas bumbung bas dan dari situl kami semua merangkak keluar dari bas yang terbalik itu.

“Saya bersyukur kami semua, termasuk pemandu, terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Sementara itu, sumber Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah (IPD) berkata, hasil siasatan awal, pihaknya percaya bas pesiaran dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bharu hilang kawalan selepas terlanggar penghadang jalan dan melencong ke kiri lalu melanggar tebing dan terbalik ke kanan.

Bagaimanapun, bas itu hanya membawa sembilan penumpang dan mereka menyambung perjalanan ke Johor Bahru menggunakan bas pesiaran lain.

Thursday, March 17, 2011

HAIWAN LEBIH PEKA AMARAN TSUNAMI







Ekoran gempa bumi berukuran 8.9 skala Richter di luar pantai Sendai di Jepun 11hb March lalu, sebuah persisiran pantai di Mexico telah 'dihadiri' dengan sekumpulan besar ikan berbagai jenis. Antaranya yang dilihat adalah ikan sardin, ikan pelata, ikan bass dan ikan bilis. Kehadiran ikan-ikan tersebut membuatkan suasana persisiran pantai dilitupi dengan warna hitam gelap berminyak.

Bagi nelayan di kawasan pantai Acapulco , ia bagaikan bulan jatuh ke riba. Mereka hanya menggunakan pukat, bakul dan apa sahaja yang tercapai untuk menangkap ikan-ikan tersebut.

"Di sana dalam 20 hingga 30 orang nelayan bersama-sama anak-anak mereka mengambil kesempatan atas fenomena ini", ujar Carlos Morales yang turut teruja menyaksikan fenomena pelik tersebut.

Nelayan di sekitar kawasan tersebut yakin kejadian pelik ini berlaku kerana bencana Tsunami yang melanda Jepun baru-baru ini.

Walaubagaimanapun, para pakar tidak pasti kejadian ini mempunyai kaitan dengan Tsunami di Jepun.

"Tsunami sememangnya boleh mengubah sesuatu, namun ia jauh untuk mendakwa ia ada kaitan(dengan tsunami di Jepun)", kata Rich Briggs yang juga ahli geologi daripada U.S Geological Survey.

Lihat gambar-gambar diatas yang sempat dirakam di luar persisiran pantai Mexico :
Mengimbau semula kejadian Tsunami yang berlaku pada tahun 2004 lalu, peristiwa hitam tersebut telah meragut nyawa manusia lebih ramai berbanding binatang. Mengapa ini semua berlaku?. Haiwan sebenarnya mempunyai deria yang sangat kuat berbanding manusia. Terdapat beberapa peristiwa aneh beberapa jam sebelum berlakunya tsunami. Di Sri Lanka, orang-orang di Taman Nasional Yala mengamati 3 ekor gajah bertempiaran lari menjauhi pantai Patanangala menuju ke kawasan perbukitan, kelawar pula didapati berterbangan di sebelah selatan kota Dickwella.

Selain itu, dua ekor anjing didapati tidak mahu mendekati pantai di Galle sedangkan sebelum ini anjing-anjing tersebut sentiasa berada di sekitar pantai tersebut. Di Thailand, beberapa ekor gajah telah membawa Wistawan berlari menuju ke bukit untuk menyelamatkan penunggangnya sebelum tsunami menghancurkan Phuket. Di pantai selatan India pula, sejumlah Flamingo berterbangan menuju ke hutan yang lebih selamat sebelum bencana berlaku.

Ketika tsunami melanda Sri Lanka, kira-kira ratusan gajah, harimau, babi hutan, rusa, kerbau air, kera dan mamalia yang lebih kecil melarikan diri dengan menyelamatkan diri menuju ke tempat yang lebih tinggi. Namun begitu sejumlah besar kura-kura ditemui mati disepanjang pantai Acheh. Kepekaan dan naluri binatang yang tidak dimiliki manusia boleh digunakan sebagai alat untuk peringatan pertama bencana.

* p/s ~ haiwan adalah makhluk yg diberikan anugerah oleh Allah Taala dapat merasai akan bencana dan dpt melihat, mendengar di alam lain malahan berzikir kepada Yang Maha Pencipta. Jika manusia yg hina ini dapat anugerah seperti haiwan-haiwan di muka bumi ini, pasti manusia akan terus kembali ke jalan yang benar.

Wednesday, March 16, 2011

Tangan tergilis mesin tebu




BANTU...anggota bomba cuba mengeluarkan tangan Nurul yang tersangkut pada gigi mesin perahan tebu.
KULAIJAYA: “Mak, tolong mak, sakit!” jerit Nurul Aminah Murjini, 15, apabila tangan kirinya tersepit pada gigi mesin perahan tebu di sebuah gerai menjual air tebu di Taman Kulai Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, tangan kiri Nurul separas siku hampir hancur akibat tersangkut pada gigi mesin perahan tebu ketika membantu ibunya menjual air tebu di gerai berhampiran rumah kedai di Batu 21, Jalan Kulai-Johor Bahru.
Kejadian berlaku apabila tudung pelajar tingkatan tiga itu tiba-tiba tersangkut pada gigi mesin berkenaan yang sedang ligat berputar.

Menurut saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Hamid, 30-an, mangsa gagal menarik keluar tudungnya yang tersangkut ketika mesin berputar.

“Mungkin Nurul panik hingga menyebabkan dia gagal mematikan suis elektrik mesin berkenaan. Akibatnya, tangan kirinya separas siku turut termasuk ke bahagian berkenaan.

“Mesin itu akhirnya terhenti dan kami cuba membantu mengeluarkan tangan Nurul, tetapi gagal lalu menghubungi bomba untuk membantu mangsa,” katanya.

Hamid berada di situ untuk membeli makanan di gerai bersebelahan.

Sementara itu, bapa mangsa, Murjini Sunarto, 46, berkata, dia sedang membersihkan kebun di Kampung Sri Paya, dekat sini, sebelum dihubungi isteri yang memaklumkan kejadian itu.

“Kebiasaannya, pembantu mengendalikan mesin perahan tebu, tetapi hari ini (semalam), dia mengambil cuti kerana ada urusan.

“Nurul menggantikannya buat sementara saja, sejurus tiba di lokasi, saya terkejut mendapati tangan kirinya tersepit di gigi mesin berkenaan,” katanya.

Menurut Murjini, dia bimbang dengan masa depan anak bongsunya itu yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kelapa Sawit.

Nurul terpaksa menahan kesakitan selama kira-kira 15 minit sebelum tangannya dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kulaijaya.

Dia dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk rawatan.

Thursday, March 10, 2011

Datuk Seri tertipu



TERTIPU...Rosman menunjukkan batu karang yang dikeluarkan hospital.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar Datuk Seri bukan saja kerugian RM20,000, malah nyaris maut akibat terlalu percayakan kehebatan bomoh yang mendakwa boleh berinteraksi dengan makhluk halus, sekali gus mampu menyembuhkan penyakit batu karang kronik dialaminya.
Mahu dikenali sebagai Rosman, lelaki itu berkata, disebabkan percaya kepada bomoh terbabit dia mengambil risiko menangguhkan pembedahan membuang batu karang hanya dalam tempoh kurang 24 jam dari waktu dijadualkan.
“Saya mengikut bomoh itu ke Sabah untuk berubat cara istimewa dengan menggunakan makhluk halus. Namun, selepas membelanjakan ribuan ringgit, penyakit saya tidak sembuh.

“Malah, sekembalinya dari Sabah saya rebah ketika berada di rumah kerana penyakit yang disangka sudah baik itu berada di tahap kritikal.

“Mujur isteri cepat bertindak dengan membawa ke hospital, jika tidak mungkin ajal saya sudah sampai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Rosman berkata, keputusannya menghubungi bomoh temberang itu dibuat selepas ternampak iklan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum ke hospital untuk membuat persiapan masuk ke wad pembedahan.

Sebelum itu, dia menjalani pemeriksaan di sebuah pusat perubatan di Ampang dan doktor mengarahkannya menjalani pembedahan segera berikutan penyakit batu karangnya mencapai tahap kritikal.

“Sebaik dihubungi, bomoh itu meyakinkan saya rawatannya mengambil masa singkat, malah tidak perlu menanggung kesakitan kerana pembedahan dijalankan secara batin dan dilakukan makhluk halus,” katanya.

Menurut Rosman, dia bersama keluarga pergi ke Kota Kinabalu dan sejurus tiba, dia dibawa berjumpa seorang wanita berusia 90 tahun bagi memulakan sesi rawatan.

Selepas perutnya diperiksa, wanita terbabit mengeluarkan 13 batu berwarna kehitaman yang didakwa batu karang.

“Selepas batu karang dikeluarkan, wanita itu memberitahu penyakit saya sembuh sepenuhnya. Bagi menghilangkan curiga, saya membuat pemeriksaan susulan di sebuah pusat perubatan swasta dan terkejut apabila doktor memaklumkan, batu karang sudah tiada.

“Saya gembira kerana menyangka sudah sembuh, tapi sebulan kemudian saya pengsan dan hampir mati. Mujur tindakan pantas doktor mengeluarkan batu karang melalui pembedahan menyelamatkan nyawa saya,” katanya.

Sehubungan itu, Rosman berharap kejadian menimpanya menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak tertipu dengan rawatan bomoh, terutama yang mendakwa menggunakan makhluk halus dan mengambil kesempatan mengenakan caj tinggi.

Sementara itu, wartawan Harian Metro yang berpura-pura menjadi pesakit menemui bomoh terbabit dan dia mengesahkan mengenakan caj RM19,000 hingga RM50,000 kepada pesakitnya.

Malah, bomoh berusia 40-an itu juga mendakwa memiliki 16 kereta mewah dan beberapa banglo di Lembah Klang serta Sabah.

Lebih melucukan apabila dia menjelaskan bayaran dikenakan munasabah kerana dia perlu menghantar makhluk halus miliknya ke Lautan Atlantik untuk mengambil air mata duyung dan mengembara ke hutan tebal bagi mencari penawar mujarab mengubati penyakit.

“Saya perlu menjaga hati makhluk halus yang berdamping dengan saya sejak kecil kerana ia mampu merawat pelbagai penyakit dalam lima saat dan segala derita pesakit selama bertahun-tahun akan sembuh.

“Pesakit boleh melihat makhluk halus ini dengan izin saya apabila ia memasuki badan saya untuk melakukan proses rawatan,” katanya yang mendakwa mampu merawat pelbagai penyakit termasuk santau, buatan orang dan batu karang.

Bomoh itu mendakwa, makhluk halus belaannya akan memantau setiap pesakit dari mula proses rawatan hingga selesai, malah pesakit akan dijaga selama mana diinginkan.

Tuesday, March 8, 2011

AHLI KEMALANGAN


Walaupun tiada kecederaan berlaku kepada pemilik dan penumpang kenderaan ini, tetapi keretanya mungkin menjadi scrap. Kejadian berlaku pada 1hb Mac 2011 (selasa)

Monday, March 7, 2011

Bala minum air petai ‘menangis’


KERATAN Kosmo! 5 Mac 2011

Oleh ZAKI SALLEHGEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan orang ramai supaya tidak meminum air yang kononnya keluar dari sebatang pokok petai 'menangis' di sini kerana ia mungkin mengandungi virus kencing tikus (leptospirosis)

Pegawai Pendidikannya, N. V. Subbarow berkata, sehubungan itu orang ramai perlu berhati-hati kerana banyak punca penyakit berjangkit disebarkan oleh binatang atau serangga termasuklah leptospirosis yang disebarkan melalui air.

Beliau berkata, tindakan meminum air berkenaan hanya mendedahkan orang ramai kepada risiko termasuk penyakit kerana tidak mengetahui punca sebenar air tersebut.

Sunday, March 6, 2011

PELAJAR KOLEJ HANYUT - JERAM TANDUK


DI SITU... Muhd Nur menunjukkan tempat Abdul Aziz mandi dan dihanyutkan oleh arus deras.


KEMAMAN: Kegembiraan lima rakan sekolej berkelah dan mandi-manda di sebuah kawasan perkelahan di Jeram Tanduk, dekat Kampung Air Putih, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dipercayai dihanyutkan arus deras dan lemas di jeram berkenaan.
Abdul Aziz Zulkifli, 19, pelajar kolej swasta di daerah ini, dikatakan bertolak dari rumah sewa mereka di Bandar Chukai bersama empat lagi rakan mereka untuk berkelah buat kali pertama di jeram berkenaan dan tiba kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Rakan mangsa, Muhd Nur Ariff, 19, berkata mereka berlima sudah lama bercadang berkelah dan mandi-manda di jeram terbabit setelah mendapat tahu daripada rakan bahawa kawasan itu cantik dan sesuai untuk berkelah.
“Sempena cuti hujung minggu ini, kami merancang datang berkelah di sini dan bertolak petang kelmarin dan tiba di lokasi perkelahan kira-kira jam 4 petang.

“Kejadian berlaku sewaktu kami mandi dan berenang apabila saya tiba-tiba melihat mangsa dihanyutkan arus deras dan terjatuh ke kawasan jeram yang airnya terlalu deras serta dalam,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Melihat kejadian itu, dia serta seorang lagi rakan mereka cuba berenang dan berjaya mencapai tangan mangsa. Namun, air yang terlalu deras menyebabkan Abdul Aziz gagal diselamatkan lalu terjatuh ke dalam jeram itu.
Katanya, mereka yang terkejut dengan kejadian itu terus berusaha keluar dari kawasan perkelahan yang jaraknya hampir 10 kilometer dari rumah penduduk bagi mendapatkan bantuan orang awam dan menghubungi Balai Polis Air Putih.

Dalam perkembangan sama, Ketua Operasi Gerakan Mencari dan Menyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Ceneh Baru, Pegawai Bomba Kanan 1 Azhar Noh berkata, mereka menerima laporan berhubung kejadian itu, kira-kira jam 6.20 petang semalam.
“Kami tiba di tempat kejadian kira-kira jam 7 malam dengan kekuatan anggota seramai 12 orang bagi menjalankan usaha mencari dan menyelamat walaupun terpaksa menempuh sedikit kesukaran kerana air jeram terlalu deras.

“Usaha mencari terpaksa dihentikan malam tadi disebabkan cuaca gelap dan ia disambung semula jam tujuh pagi dengan bantuan 11 anggota unit selam (skuba) Bomba dan Penyelamat, 10 anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan anggota Rela yang keseluruhannya berjumlah 38 orang selain penduduk kampung serta Badan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya.

Bagaimanapun, keluarga mangsa yang tiba dari Johor Bharu awal pagi ini ketika ditemui di lokasi enggan ditemubual kerana masih terkejut dengan kejadian itu dan meminta identiti penuh mangsa tidak disiarkan.

Tinjauan di kawasan perkelahan berkenaan mendapati pasukan mencari dan menyelamat menjalankan gerakan mencari, termasuk menyelam di beberapa kawasan jeram air deras bagi mengesan kedudukan mangsa.

Thursday, March 3, 2011

Gadis melekat dalam kubur ibu

 
Kisah ini diambil dari sebuah blog yang menceritakan pengalaman penulis blog berkenaan bacalah dan ambil pengajaran 

untuk post kali ini saya terpanggil untuk memaparkan kisah yang dah lama terjadi...pastinya ada yang pernah mendengar kisah ini...sohih atau tidak, saya tak pasti....walau bagaimanapun, boleh dibaca sebagai iktibar...wallahualam

" Hairan saya melihat beberapa orang kampung berkumpul di kedai pada tengah hari itu. 1 September 1994. Serius mereka berbual hingga dahi berkerut-kerut. Lepas seorang bercerita yang lain menggeleng-gelengka n kepala.

Pasti ada sesuatu yang 'besar' sedang mereka bincangkan, kata saya di
dalam hati. Setelah enjin motosikal dimatikan, saya berjalan ke arah
mereka.

" Bincang apa tu? Serius saya tengok," saya menyapa.
" Haaa...Din, kau tak pergi tengok budak perempuan tak boleh keluar
dari kubur emak dia? " kata Jaimi, kawan saya. " Budak perempuan? Tak boleh keluar dari kubur. saya tak faham bah," jawab saya. Memang saya tak faham kerana lain benar apa yang mereka katakan itu.

" Macam ni," kata Jaimi, lalu menyambung, " di kubur kat kampung Batu 10 tu, ada seorang budak perempuan tolong kebumikan emak dia, tapi lepas itu dia pula yang tak boleh keluar dari kubur tu. Sekarang ni orang tengah nak keluarkan dia... tapi belum boleh lagi ".

" Kenapa jadi macam tu? " saya bertanya supaya Jaimi bercerita lebih
mendalam. Patutlah serius sangat mereka berbual..

Jaimi memulakan ceritanya. Kata beliau, memandangkan semalam adalah hari kelepasan semperna Hari Kebangsaan, budak perempuan berumur belasan tahun itu meminta wang daripada ibunya untuk keluar bersama kawan-kawan ke Bandar Sandakan. Bagaimanapun, ibunya yang sudah berusia dan sakit pula enggan memberikannya wang.
 " Bukannya banyak, RM 20 saja mak! " gadis itu membentak.
" Mana emak ada duit. minta dengan bapa kamu," jawab ibunya perlahan. Sambil itu dia mengurut kakinya yang sengal. Sudah bertahun-tahun dia mengidap darah tinggi, lemah jantung dan kencing manis.

" Maaak... kawan-kawan semuanya keluar. Saya pun nak jalan jugak," kata gadis itu. " Yalah, mak tau... tapi mak tak ada duit," balas ibunya. "
RM 20 saja! " si gadis berkata. " Tak ada," jawab ibunya. " Emak memang kedekut! " si gadis mula mengeluarkan kata-kata keras.

" Bukan macam tu ta..." belum pun habis ibunya menerangkan, gadis
tersebut menyanggah, katanya, " Ahhh...sudahlah emak! Saya tak mahu
dengar! " " Kalau emak ada du... " ibunya menyambung , tapi belum pun
habis kata-katanya, si gadis memintas lagi, katanya ; " kalau abang,
boleh, tapi kalau saya minta duit, mesti tak ada! "


Serentak dengan itu, gadis tersebut menyepak ibunya dan menolaknya ke pintu. Si ibu jatuh ke lantai. " Saida.. Sai.. dddaaa.." katanya
perlahan sambil mengurut dada. Wajahnya berkerut menahan sakit.

Gadis tersebut tidak menghiraukan ibunya yang terkulai di lantai. Dia
sebaliknya masuk ke bilik dan berkurung tanda protes. Di dalam bilik,
dibalingnya bantal dan selimut ke dinding. Dan sementara di luar,
suasana sunyi sepi.

Hampir sejam kemudian, barulah gadis tersebut keluar. Alangkah
terkejutnya dia kerana ibunya tidak bergerak lagi. Bila dipegang ke
pergelangan tangan dan bawah leher, tidak ada lagi nadi berdenyut.

Si gadis panik. Dia meraung dan menangis memanggil ibunya,tapi tidak
bersahut. Meraung si gadis melihat mayat ibunya itu. Melalui
jiran-jiran, kematian wanita itu diberitahu kepada bapa gadis yang
bekerja di luar.

Jaimi menyambung ceritanya; " Mak cik tu dibawa ke kubur pukul 12.30
tadi. Pada mulanya tak ada apa-apa yang pelik, tapi bila mayatnya nak
dimasukkan ke dalam kubur, ia jadi berat sampai dekat 10 orang pun tak terdaya nak masukkannya ke dalam kubur. Suaminya sendiri pun tak dapat bantu."

" Tapi bila budak perempuan tu tolong, mayat ibunya serta-merta jadi
ringan. Dia seorang pun boleh angkat dan letak mayat ibunya di tepi
kubur."

Kemudian gadis berkenaan masuk ke dalam kubur untuk menyambut jenazah ibunya. Sekali lagi beramai-ramai penduduk kampung mengangkat mayat tersebut dan menyerahkannya kepada gadis berkenaan.

Tanpa bersusah payah, gadis itu memasukkan mayat ibunya ke dalam lahad. Namun apabila dia hendak memanjat keluar dari kubur tersebut, tiba-tiba kakinya tidak boleh diangkat. Ia seperti dipaku ke tanah. Si gadis mula cemas.

" Kenapa ni ayah? " kata si gadis. Wajahnya serta-merta pucat lesi. "
Apa pasal," Si ayah bertanya. " Kaki Saida ni.. tak boleh angkat! "
balas si gadis yang kian cemas.

Orang ramai yang berada di sekeliling kubur mula riuh. Seorang demi
seorang menjenguk untuk melihat apa yang sedang berlaku.

" Ayah, tarik tangan saya ni. Kaki saya terlekat... tak boleh nak naik,"
gadis tersebut menghulurkan tangan ke arah bapanya.

Si bapa menarik tangan anaknya itu, tetapi gagal. Kaki gadis tersebut
melekat kuat ke tanah. Beberapa orang lagi dipanggil untuk menariknya
keluar, juga tidak berhasil.

" Ayah...Kenapa ni??!! Tolonglah Saida, ayah.." si gadis menangis
memandang ayah dan adik-beradiknya yang bertinggung di pinggir kubur.

Semakin ramai orang berpusu ke pinggir kubur. Mereka cuba menariknya beramai-ramai namun sudah ketentuan Allah, kaki si gadis tetap terpasak di tanah. Tangisannya bertambah kuat.

" Tolong saya ayah, tolong saya...Kenapa jadi macam ni ayah? " kata si
gadis sambil meratap. " Itulah, kamu yang buat emak sampai dia
meninggal. Sekarang, ayah pun tak tau nak buat macam mana," jawab si ayah selepas gagal mengeluarkan anaknya itu.

Dia menarik lagi tangan gadis yang berada di dalam kubur tapi tidak
berganjak walau seinci pun. Kakinya tetap terpahat ke tanah.

" Emak...ampunkan Saida emak, ampunkan Saida..." gadis itu menangis. Sambil itu dipeluk dan dicium jenazah. Air matanya sudah tidak boleh diempang lagi. " Maafkan Saida emak, maafkan , Saida bersalah, Saida menyesal... Saida menyesal.. Ampunkan Saida emak," dia menangis lagi sambil memeluk jenazah ibunya yang telah kaku.

Kemudian gadis itu menghulurkan lagi tangannya supaya boleh di tarik
keluar. Beramai-ramai orang cuba mengeluarkannya namun kecewa. Apabila terlalu lama mencuba tetapi gagal, imam membuat keputusan bahawa kubur tersebut perlu dikambus.

" Kita kambus sedikit saja, sampai mayat ibunya tak dapat dilihat lagi.
Kita tak boleh biarkan mayatnya macam tu saja... kalau hujan macam mana? " kata imam kepada bapa gadis berkenaan.

" Habis anak saya ?" tanya si bapa.
" Kita akan terus cuba tarik dia keluar. Kita buat dua-dua sekali, mayat
isteri awak disempurnakan, anak awak kita selamatkan," balas imam.

Lelaki berkenaan bersetuju. Lalu seperti yang diputuskan,upacara
pengebumian terpaksa diteruskan sehingga selesai, termasuk talkinnya.
Bagaimana pun kubur dikambus separas lutut gadis saja, cukup untuk
menimbus keseluruhan jenazah ibunya.

Yang menyedihkan, ketika itu si gadis masih di dalam kubur. Bila talkin
dibaca, dia menangis dan meraung kesedihan. Sambil itu dia meminta ampun kepada ibunya dengan linangan air mata. Selesai upacara itu, orang ramai berusaha lagi menariknya keluar. Tapi tidak berhasil.

" Bila dah lama sangat. saya balik kejap untuk makan. Dah lapar sangat.
Lepas itulah saya singgah ke kedai ni. Lepas ni saya nak ke kubur lagi.
Nak tengok apa yang terjadi," kata Jaimi.

" saya pun nak pergilah," kata saya. Lalu kami semua menunggang motosikal masing-masing menuju ke kubur.

Kami lihat orang ramai sudah berpusu-pusu di sana. Beberapa buah kereta polis juga kelihatan di situ. Saya terus berjalan pantas menuju kubur yang dimaksudkan dan berusaha menyusup ke celah-celah orang ramai yang sedang bersesak-sesak.

Setelah penat berusaha, akhirnya saya berjaya sampai kebarisan paling
hadapan. Malangnya saya tidak dapat melihat gadis tersebut kerana di
depan kami telah dibuat kepungan tali. Kubur itu pula beberapa puluh
meter daripada kami dan terlindung oleh kubur serta pokok-pokok rimbun. Di dalam kepungan itu, anggota-anggota polis berkawal dengan senjata masing-masing.

Nasib saya memang baik hari itu. Dua tiga orang daripada polis berkenaan adalah kenalan saya.

" Pssstt...Raie. ..Raie..Psstt, " saya memanggil, Raie yang perasan saya
memanggilnya mengangkat tangan. " Boleh saya tengok budak tu? " saya bertanya sebaik saja diadatang ke arah saya.

" Mana boleh. Keluarga dia saja yang boleh," jawabnya perlahan-lahan seperti berbisik. Sambil itu dia menjeling ke kiri dan kanan, khuatir ada
orang yang tahu. " Sekejap saja. Bolehlah..." saya memujuk.

Alhamdulillah, setelah puas dipujuk dia mengalah. Tanpa berlengah, saya menyusup perlahan-lahan dan berjalan beriringan dengan Raie, seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan. Namun demikian dada saya berdebar kencang. Pertama, risau & takut dihalau keluar. Kedua, tidak sabar hendak melihat apa yang sedang berlaku kepada gadis berkenaan.

Selepas meredah kubur-kubur yang bertebaran, akhirnya saya sampai ke pusara yang dimaksudkan. Di pinggir kubur itu berdiri dua tiga orang polis memerhatikan kedatangan saya.

Raie mendekati mereka dan berbisik-bisik. Mungkin dia merayu supaya saya tidak dihalau. Alhamdulillah, saya lihat seorang polis yang berpangkat mengangguk-angguk. Raie terus memanggil saya lalu memuncungkan bibirnya ke arah sebuah kubur.

Bila dijenguk kedalam, dada saya serta-merta terasa sebak. Saya lihat gadis berkenaan sedang duduk di atas tanah kubur sambil menangis teresak-esak. Sebentar kemudian dia memegang tanah berhampiran lahad dan merintih; "Emak... ampunkanlah Saida, Saida sedar, Saida derhaka pada emak, Saida menyesal, Saida menyesal.."

Selepas mengesat air jernih yang terus berjejeran daripada mata yang bengkak, gadis tersebut menangis lagi memohon keampunan daripada arwah ibunya. " Emak...lepaskanlah kaki saya ni. Ampunkan saya, lepaskan saya," Ditarik-tariknya kaki yang melekat di tanah namun tidak berhasil juga.

Saya lihat bapa dan adik-beradiknya menangis, di pinggir kubur. Nyata mereka sendiri tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat untuk menyelamatkan gadis berkenaan.

" Sudahlah tu Saida...makanlah sikit nak ," rayu bapanya sambil
menghulurkan sepinggan nasi juga segelas air. Si gadis tersebut langsung tidak mengendahkan. Malah memandang ke atas pun tidak. Dia sebaliknya terus meratap meminta ampun daripada arwah ibunya.

Hampir menitis air mata saya melihat Saida. Tidak saya sangka, cerita datuk dan nenek tentang anak derhaka kini berlaku di depan mata. Begitu besar kekuasaan Allah. Memang betullah kata para alim ulama, dosa menderhakai ibu bapa akan di balas 'tunai'.

Malangnya saya tidak dapat lama di sana. *****a 10 - 15 minit saja kerana Raie memberitahu, pegawainya mahu saya berbuat demikian. Mahu tidak mahu, terpaksalah saya meninggalkan kubur tersebut. Sambil berjalan kedengaran lagi Saida menangis dan meratap " Ampunkan saya emak, ampunkan saya, Ya Allah, lepaskanlah kakiku ini. saya bertaubat,saya insaf..."

Lantas saya menoleh buat kali terakhir. Saya lihat bapa Saida dan adik beradiknya sedang menarik tangan gadis itu untuk dibawa keluar, tapi seperti tadi, tidak berhasil. Saya lihat seorang polis mengesatkan air matanya.

Semakin lama semakin ramai orang berhimpun mengelilingi perkuburan itu. Beberapa kereta polis datang dan anggotanya berkawal di dalam kepungan lengkap dengan senjata masing-masing. Wartawan dan jurugambar berkerumun datang untuk membuat liputan tetapi tidak dibenarkan. Mereka merayu bermacam-macam cara, namun demi kebaikan keluarga gadis, permintaan itu terpaksa ditolak.

Matahari kian terbenam, akhirnya tenggelam dan malam merangkak tiba. Saida masih begitu. Kaki terlekat di dalam kubur ibunya sementara dia tidak henti-henti meratap meminta keampunan. Saya pulang ke rumah dan malam itu tidak dapat melelapkan mata. Suara tangisannya terngiang-ngiang di telinga saya.

Saya diberitahu, sejak siang, tidak ada secebis makanan mahupun minuman masuk ke tekaknya. Seleranya sudah mati. Bapa dan adik beradiknya masih tetap di sisi kubur membaca al-Quran, Yassin dan berdoa. Namun telah disebutkan Allah, menderhaka terhadap ibu bapa adalah dosa yang sangat besar. Saida tetap tidak dapat dikeluarkan.

Embun mula menitis. Saida kesejukan pula. Dengan selimut yang diberi oleh bapanya dia berkelubung. Namun dia tidak dapat tidur. Saida menangis dan merayu kepada Allah supaya mengampunkan dosanya.

Begitulah yang berlaku keesokannya. Orang ramai pula tidak susut mengerumuni perkuburan itu. Walaupun tidak dapat melihat gadis berkenaan tapi mereka puas jika dapat bersesak-sesak dan mendengar orang-orang bercerita.

Setelah empat atau lima hari terperangkap, akhirnya Saida meninggal dunia. Mungkin kerana terlalu lemah dan tidak tahan di bakar kepanasan matahari pada waktu siang dan kesejukan di malam hari. Mungkin juga kerana tidak makan dan minum. Atau mungkin juga kerana terlalu sedih sangat dengan apa yang dilakukannya.

Allah Maha Agung...sebaik Saida menghembuskan nafas terakhir, barulah tubuhnya dapat di keluarkan. Mayat gadis itu kemudian disempurnakan seperti mayat-mayat lain.

Kuburnya kini di penuhi lalang. Di bawah redup daun kelapa yang melambai-lambai, tiada siapa tahu di situ bersemadi seorang gadis yang derhaka.
 p/s: nama dalam kisah ini bukan nama sebenar...sekadar iktibar...

PENYOKONG BOLASEPAK KELANTAN SESAK NAFAS



Akibat terlalu padat semasa keluar daripada stadium. Penyokong mati. Sudah ditakdirkan. Al-fatihah

Wednesday, March 2, 2011

BIRO REKREASI

Program lawatan ke Langkawi pada 26hb. April hingga 30hb April 2011. Bayaran penyertaan RM40.00 bagi seorang peserta. Sila berhubung dengan AJK KESUREP.

Program lawatan ke Nilai pada 26hb. April hingga 30hb. April 2011. bayaran penyertaan RM150.00 bagi seorang peserta. Sila berhubung dengan AJK KESUREP.

BIRO SUKAN

Kejohanan Bolatampar tertutup perwaja akan di adakan pada 18hb dan 19hb Mac 2011. Kepada Ahli yang berminat sila berhubung dengan AJK KESUREP.