Wednesday, June 30, 2010

MESYUARAT AGONG KOPERASI PERWAJA KALI KE 19

KOPERASI PERWAJA

Pengenalan Koperasi Perwaja yang ditubuhkan pada tahun 1991 dengan keahlian 680 orang. Anggota Koperasi adalah 85% pekerja Perwaja dan Ahli Kelab Sukan dan Rekreasi Perwaja (KESUREP). Pada ketika itu Koperasi Perwaja beropersi disebelah pintu masuk utama kilang (gate 1) yang sekarang menjadi bangunan Institut Teknologi Perwaja (ITP).

Atas tekanan ekonomi dan persaingan perniagaan serta kadar pembelian yang amat merosot satu tindakan perpindahan tempat beroperasi perlu dilakukan. Oleh itu tempat sekarang menjadi cadangan yang berjaya mengorak langkah kehadapan dalam persaingan perniagaan. Penukaran Bangunan klinik Perumahan kepada Pasaraya Koperasi di Perumahan Perwaja membuktikan Ahli Lembaga Pengarah dan Ahli Jawatankuasa telah menjalankan amanat serta amanah yang diberikan secara telus dan berwibawa. Sehingga kini keahliaan menjadi 1600 orang.

MESYUARAT AGONG TAHUNAN KALI KE 19

TARIKH : 27 JUN 2010 (AHAD)
MASA : 10:30 PAGI
TEMPAT : AUDITORIUM PSSB

Majlis di mulakan dengan bacaan Doa oleh Ustaz Abdul Ghani Bin Ismail. Dalam Doa antaranya yang dibaca oleh al Fahdil Ustaz memohon kepada Allah SWT memberi rahmat kepada seluruh anggota Koperasi dan seluruh muslim umat Nabi Muhammad s.a.w. serta umat-umat terdahulu, semoga sentiasa bertakwa dan bertauhidkan Allah SWT dengan nikmat Iman Islam yang sejati, kemurahan rezeki, mati dalam iman seterusnya memohon kepada Allah SWT memudahkan urusan mesyuarat agong tahunan koperasi kali ke 19 serta mendapat keredhaanNya. Amin.

Pengerusi majlis, Encik Aezmi Bin Ismail memohon ahli-ahli koperasi supaya memberi perhatian semasa majlis berlangsung. Mesyuarat yang memulakan dengan pendaftaran ahli pada jam 8:30 pagi sehingga jam 9:15 pagi dan seterusnya ketibaan VIP.

Dalam ucapan Pengerusi Koperasi Encik Wan Ishak Bin Wan Ali menyatakan syukur Alhamdulillah kehadrat Allah SWT kerana kita semua dapat berkumpul dengan izinNya. Antara ucapan pengerusi KOOP ialah menyatakan KOOP sekarang sudah menpunyai lesen pemborongan gula sebanyak 200 tan sebulan. Dimana sasaran KOOP untuk mendapat lesen pemborongan seterusnya ialah beras, bawang, gandum dan minyak masak.

Ini semua kerana sokongan padu ahli-ahli yang berterusan pada tahun 2009 sehingga memperolehi pulangan 62% kepada RM534,706.00. Atas kejayaan ini pengerusi mengumumkan jaringan perniagaan dengan Ladang Rakyat.

Cabaran akan datang, pengerusi menyatakan akan melibatkan perniagaan Hartanah sebagai cagaran harta kekal dan hak milik tetap KOOP. Oleh itu pihak Lembaga Pengarah serta Ahli Jawatankuasa akan mencari tempat dan bangunan yang dijangka sesuai untuk pelaburan dan pembukaan KOOP cawangan di sekitar Bandar Chukai.

Turut hadir dalam majlis ini wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Terengganu Selatan Encik Marzuki Bin Muhammad. Dalam ucapannya beliau menyatakan terima kasih kepada pihak Koperasi Perwaja yang sudi menjemput dan menyatakan kegembiraan atas kejayaan Koperasi Perwaja dalam perniagaan. Kegembiraan beliau juga berpanjangan atas kejayaan Koperasi Perwaja mengadakan Mesyuarat Tahunan.

Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan kali ke 19 dilakukan oleh Encik Thandayithabani A/L Appasami Pengurus Besar Operasi Loji Kemaman. Seterusnya merasmikan laman web Koperasi Perwaja. Dalam ucapan beliau, anggota koperasi perlu faham bahawa pulangan keuntungan bergantung prestasi semasa. Dalam usaha mengekalkan kelangsungan kejayaan ini, Perwaja akan meneruskan komitmen untuk bersama-sama memberi sokongan padu kepada pembangunan dan perkembangan perniagaan Koperasi.

Dalam majlis perasmian ini pihak Koperasi telah menyampaikan cederahati berbentuk baucer belian di Koperasi bernilai RM250.00 kepada anggota yang mempunyai saham dan yuran tertinggi. Mereka ialah Tuan Haji Taib Bin Abu Bakar, Tuan haji Jamaludin, Encik Mohd Yasin Muda, Encik Mohd Ropi Ibrahim (9 ribu) dan Encik Thandayithabani A/L Appasamy. Bagi belian tertinggi dalam setahun (Januari sehingga Disember 2009) ialah Encik Nazjimuddin RM16 ribu, Encik Zahari RM15 ribu, Encik Mohd Amran, Puan Kamariah dan Tuan Syed Ubaidillah menerima cenderahati berbentuk wang tunai.

Pihak majlis mesyuarat mengucapkan jutaan terima kasih kepada Puan Normazita selaku pencatat minit mesyuarat pada kali ini. Dalam mesyuarat ini anggota perlu memilih tiga Anggota Lembaga yang baru bagi menggantikan Anggota lembaga yang digugurkan mengikut giliran. Mesyuarat yang tamat bersidang jam 1:00 tengahari banyak memberi makluman kepada anggota. Semoga mesyuarat tahunan hadapan akan memberi satu kejutan kepada anggota. Wassallam.

SUDUT PUISI - SAJAK

Sekuntun Seroja Buat Bapak Brirasa

Kerana kau terlupa
Bahawa perjuangan ini
Tiada penghujungnya

Kau berhak
Pamerkan riak kebosanan
Di kanvas wajahmu

Ya, aku sekadar mengingatkan
Kita semakin dekat
Usah berpaling
Medan ranjau
Itulah jalan sebenar
Biarpun cuacanya sukar diteka

Sedang dahulu
Kita pernah sama-sama berwala’
Hidup dan mati kewakaf kepada-NYA.

Anjanglie
Kubang Jawi



.

SUDUT KESIHATAN

DIABETES

PEMBUNUH SENYAP

Diabetes ialah sejenis penyakit yang amat merbahaya kepada sesiapa yang menghidapnya. Komplikasi akibat diabetes boleh merubah gaya hidup seseorang termasuklah dari segi pengambilan makanan, hubungan suami isteri dan amalan rutin hidup harian seperti beriadah. Selain daripada itu ramai di kalangan penghidap diabetes terpaksa kehilangan anggota badan terutamanya kaki, kegagalan buah pinggang berfungsi, komplikasi jantung dan juga penglihatan mata menjadi rabun atau buta. Jika tidak dirawat atau tidak mengambil ubat-ubatan yang disyorkan, ramai yang akan menderita hatta kehilangan nyawa.
Diabetes mengikut perubatan moden adalah penyakit yang tiada penawarnya. Seorang diabetik akan terpaksa mengambil ubat sepanjang hayat mereka, tetapi perubatan ataupun cara lain adalah suatu alternatif kepada mereka yang yakin akan pegangan ini bahawa “Segala penyakit ada ubatnya kecuali mati”. Atas keyakinan ini telah ramai penghidap diabetes dari pelbagai peringkat dan jenis keturunan atau di sebabkan oleh pemakanan telah dapat dipulihkan seperti sediakala dan hidup bebas dari gangguan penyakit ini. “Yakin dan Percayalah” bahawa berusaha untuk mencapai kesihatan yang baik merupakan suatu amalan yang akan diberkati dan diperkenankan oleh Allah SWT pemilik segalanya.

BIRO AGAMA

Displin khutbah Jumaat atasi ceramah biasa

PERBEZAAN antara khutbah dan syarahan biasa ; ialah khatib yang akan berkhutbah Jumaat diajar supaya di tangannya ada sesuatu.
Dalam kitab fiqh disebut agar ada tongkat atau senjata seperti busar panah, lembing, atau tongkat, setidak-tidaknya dikehendaki memegang naskah al-Quran.
Tujuannya supaya sidang Jumaat merasa gerun terhadap khatib, kerana kewajipan pensyarah sebagai pemimpin untuk sebarkan ilmu agamanya kepada masyarakat.
Senjata atau tongkat di tangan khatib untuk tarik perhatian, supaya sidang Jumaat beri tumpuan terhadap segala ucapan khatib berkenaan.
Khatib buka khutbahnya dengan ucapan “Alhamdulillah” kemudian berselawat atas Nabi s.a.w, “Was solatu wassalamu ‘ala Rasulillah” diikuti ucapan wasiat “Aiyuhan naas ittaqullah.”
Menegaskan kepada sidang Jumaat, bahawa yang diucapkan oleh khatib semuanya daripada urusan Allah SWT, bukan kehendak hati khatib sendiri.
Lantaran semuanya atas urusan Allah dan Rasul-NYA, maka di pihak pendengar tiada hak untuk sambil lewa mendengarnya.
Khatib tiada hak untuk masukkan perkara tiada kaitan dengan Allah SWT dalam khutbahnya, apa lagi yang bercanggah dengan-NYA.
Ucap “Alhamdulillah” dan selawat ke atas Rasulullah s.a.w., sedikit pun tidak bererti jika khutbahnya tidak berkaitan dengan urusan Allah SWT dan Rasul-NYA.
Dikehendaki menyebut :Ittaqullah” dengan erti supaya kehidupan manusia seminggu. Dalam lingkungan takwa kepada Allah SWT.
Pelbagai golongan manusia akan tersedar apabila mendengar seruan tersebut, bahawa kehidupan mereka perlu sentiasa atas landasan takwa.
Terdapat hadis Nabi yang bermaksud : “Apabila seorang mengingatkan sahabatnya dengan perkataan ‘diam’ sekalipun, sedangkan khatib sedang berkhutbah, maka sia-sia (Lagha) sahaja pahala Jumaatnya”.
Makmum dikehendaki beri tumpuan sepenuhnya terhadap isi khutbah. Ditegah buat teguran semasa khatib berkhutbah walau baik tujuannya.
Menegur pihak lain bererti dia telah terpengaruh dengan situasi sekeliling. Hingga hilang tumpuan terhadap khutbah yang penting dan dituntut oleh agama.
Hendaklah disedari makmum yang terlalai sedikit saja, bererti tidak menumpu ingatan kepada isi khutbah. Allah SWT mendendanya dengan kehilangan pahala Jumaatnya.
Betapa lebih dahsyat balasan kepada atau khatib, jika mereka tidak sempurnakan tugas khutbahnya dengan lebih sempurna memimpin manusia ke akhirat.
Andainya khatib terlalai daripada mengingatkan manusia tentang dosa dan pahala, di akhirat telah menanti syurga atau neraka bagi mengakhiri nasib seseorang.
Situasi begitu tidak layak untuk dijadikan khutbah Jumaat, sekadar pidato biasa yang tiada kaitan dengan seruan “Ittaqullah” (bertakwalah kepada Allah). Bererti peranan iman telah gagal dalam kepimpinannya terhadap masyarakat.
Muslimin hendaklah sedar bahwa hari Jumaat ini adalah hari ciptaan Allah SWT untuk membesarkan Islam. Hanya umat Islam sahaja yang mendapat keistimewaan hari Jumaat.
Allah SWT wujudkan hari Jumaat telah begitu lama berlaku atas dunia, umat Yahudi dan Nasrani ditakdirkan tidak menemuinya. Melainkan umat Muhammad s.a.w.
Hari Jumaat telah wujud sejak pada zaman umat nabi Musa a.s. dan umat Nabi Isa a.s. tetapi mereka sesama sendiri berselisih pendapat tentang hari dan kemuliaannya. Lalu Allah SWT bebaskan kaum tersebut daripada hari Jumaat.
Kaum Yahudi memilih hari Sabtu sementara kaum Nasrani memilih hari Ahad sebagai hari kebesarannya. Allah SWT telah hidayahkan muslimin untuk menerima hari Jumaat sebagai penghulu hari.
Allah SWT telah mentaakhirkan hari Jumaat untuk umat Muhammad s.a.w. dan menjadikannya sebagai hari raya bagi umat Islam, bergembira sebagaimana orang Islam merasa meriah dan gembira pada hari raya yang lain.
Lelaki atau wanita sama ada kanak-kanak dan orang dewasa merasa bertuah, bukan sekadar hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, bahkan mereka bergembira dengan kedatangan hari raya setiap minggu iaitu pada hari Jumaat.
Muslimin sebaik manusia tentang lebih dahulu mendapat kemuliaan hari Jumaat, dan pemengang kitab Taurat juga Injil hanya menjadi pak turut bagi orang Islam.
Dalil bahawa hari Jumaat hari kemuliaan Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud ; “Apabila diseru (azan) untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bergegaslah kamu kepada meningati Allah dan tingggallah jual beli.” (Surah al-Jumu’ah ayat 9).
Diharamkan semua kegiatan duniawi, apabila azan Jumaat dikumandangkan untuk tumpu sepenuh perhatian kepada zikrullah.
Tuhan yang Maha Bijaksana tidak menyeru kepada solat Jumaat semata, bahkan kepada zikrullah yang pengertiannya lebih luas.
Allah SWT mengarahkan supaya meninggalkan jual beli. Ayat ini turun di Madinah dperintahkan supaya dihenti sekertika. Selepas solat Jumaat mereka digalakkan sambung meraih pelbagai aktiviti fadilat daripada Allah SWT.

TAHNIAH - PERKAHWINAN





KENALI AHLI KELAB YANG MENAMATKAN ALAM BUJANGNYA

Nama : Asmawi Bin Hussin
Bahagian : Plant Maintenance / Mechanical SMS
No. Pekerja : 2135630
Asal : Terengganu
Tarikh Kahwin : 18hb. Jun 2010 (Jumaat)

MYSTERY DRIVE 2008 KE BUKIT MERAH
























BIRO REKREASI - DALAM KENANGAN






BUKIT MERAH 2008

kenangan 2008 - Mystery Drive ke Bukit Merah

Thursday, June 24, 2010

SUDUT KERJAYA

Cari Sektor Pekerjaan Yang Sesuai

Ketidakpastian sering timbul dalam kalangan pelajar ialah sama ada ingin bekerja dalam sektor awam, swasta atau ingin mencari pendapatan sendiri sebagai usahawan.
Sebenarnya, terpulanglah kepada diri sendiri. Sekiranya difikirkan selesa untuk bekerja dalam sektor awam, anda boleh memohon pekerjaan sektor itu.
Jika inginkan tugas yang lebih mencabar dan berpendapatan lebih tinggi, anda boleh memasuki sektor swasta.
Sektor swasta di negara ini meliputi pelbagai bidang seperti kewangan, perniagaan, pengurusan, perkhidmatan, perkilangan, perindustrian, telekomunikasi, pembinaan dan pengeluaran.
Namum, jika ingin berdikari dan mencari pendapatan yang lebih, anda boleh menjadi usahawan. Bukankah 9/10 punca rezeki itu datangnya daripada perniagaan seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w.?
Bekerja sendiri menjadi usahawan biasanya membabitkan pelbagai bidang seperti peruncitan, makanan, pengeluaran, perkidmatan, pembekalan, hartanah, barangan dan kemahiran.
Peluang untuk menjadi usahawan amat banyak, malah kerajaan sentiasa menggalakkan rakyat khususnya Bumiputera menceburi bidang keusahawanan.
Kerajaan juga menubuhkan banyak tabung kewangan bagi membantu bakal usahawan memulakan perniagaan. Oleh sebab keusahawanan boleh dijadukan kerja pilihan pelajar, maka Kementerian Pengajian Tinggi mendedahkan kemahiran keusahawanan kepada pelajar universiti melalui modul kemahiran insaniah yang perlu dikuasai sebelum memasuki pasaran kerja.
Sebenarnya, setiap sektor itu menpunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Terpulanglah kepada anda untuk menentukan kerjaya manakah yang paling sesuai. Tepuk dada tanya minda.
Ruangan ini memperkatakan mengenai kelebihan bekerja dalam setiap sektor berkenaan.

Kelebihan Sektor Awam

1 Pekerjaan anda lebih terjamin.
2 Anda boleh memilih skim pencen atau caruman kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
3 Setiap tahun ada bayaran bonus/imbuhan khas jika kewangan kerajaan mengizinkan.
4 Terdapat kemudahan pinjaman perumahan, kenderaan dan Komputer dengan kadar bayaran perkhidmatan yang rendah.
5 Adanya kemudahan rawatan perubatan di hospital atau klinik kerajaan/swasta.
6 Organisasi mencarum ke dalam KWSP (jika pilih skim KWSP).
7 Berpeluang meningkatkan tahap akademik dan profesion melalui latihan dan pendidikan sehingga doktor falsafah.
8 Mempunyai peluang dari segi kenaikan pangkat berdasarkan pengalaman dan kecemerlangan.
9 Faedah pencen yang menarik.

Kelebihan Sektor Swasta

1 Pemberian gaji permulaan dan elaun yang tinggi
2 Bayaran bonus tahunan untuk pekerja berdasarkan prestasi dan keuntungan syarikat.
3 Kenaikan gaji tahunan lebih tinggi bergantung kepada prestasi kerja dan keuntungan syarikat.
4 Peluang kenaikan pangkat berdasarkan prestasi dan kecemerlangan.
5 Ada syarikat memberi kemudahan pinjaman seeperti perumahan, kenderaan dan Komputer dengan kadar faedah yang rendah.
6 Pembiayaan rawatan perubatan di klinik dan hospital swasta.
7 Terdapat syarikat yang menyediakan kemudahan insuran perlindungan diri.
8 Terdapat skim insentif tertentu.
9 Berpeluang untuk memiliki saham syarikat
10 Majikan mencarum ke dalam KWSP.

Kelebihan Sektor Usahawan

1 anda menentukan matlamat sendiri dan strategi untuk mencapai matlamat.
2 Anda menentukan kaedah sendiri yang ingin digunakan dalam mencapai kejayaan.
3 Anda menentukan sendiri keputusan mengenai pekerjaan
4 Anda menentukan sasaran kerja yang dilakukan.
5 Anda dibantu oleh kakitangan sendiri.
6 Pendapatan bergantung kepada usaha sendiri.

Kelebihan yang dinyatakan di atas adalah secara umum dan setiap organisasi khusunya dal sektor awam dan swasta mmempunyai fokus dan bidang tugas yang berlainan. Maka, tentulah kelebihannya berbeza-beza.

SUDUT PUISI - SAJAK

Mediterranean Berdarah

Pelayaran damai misi keamanan
‘Freedom Flotilla Lifeline for Gaza’
Sinar baru rakyat belasahan
Palestin yang bermaruah.

‘MV MAVI MARMARA’ diserang
Saksi kekejaman tanpa batasan
Mediterranaen kini berdarah
Demi Gaza yang tertindas.

Atas nama insan dan kemanusiaan
Atas nama agama dan keyakinan
Tangan-tangan yang mahu peduli ini
Akan selamanya beraksi.

Zionis rejim apartheid Israel
Dunia akan jadi saksi
Keangkuhan kuasa dan kebiadaban manusia
Gaza yang telah engkau nafikan
Hak dan maruah insan.

Jangan engkau sangka
Tangan-tangan yang kecil ini
Akan hanya berdiam diri
Lemah tidak berdaya.

Selagi manusia masih punya Tuhan
Selagi ada jiwa kemanusia
Selagi umat masih ada doa tadahan

Palestin tidak akan dibiar sendirian
Sekalipun Medditerranean dipeluru hujan.

Muhammad Najid Abdullah
Kota Nasr, Kaherah



.

SUDUT KESIHATAN

Air

KURANG AIR PUNCA PELBAGAI PENYAKIT

Minum air yang mencukupi sangat penting bagi menjana kesihatan yang baik. Lazimnya badan kita memerlukan lebih kurang 60 hingga 70 peratus air. Ini kerana darah adalah dalam bentuk cecair, begitu juga banyak mengandungi air.
Air diperlukan di dalam tubuh manusia untuk menyelaraskan suhu badan selain membekalkan nutrient kepada organ tubuh, membawa oksigen kepada sel, membuang bahan toksid serta memberi perlindungan kepada sendi dan organ anda.
Secara tidak disedari, seseorang kehilangan air dengan banyak dari tubuhnya menerusi kencing, pernafasan dan berpeluh. Bagi mereka yang aktif bersukan, kadar kehilangan air lebih banyak berbanding dengan mereka yang tidak aktif.
Penggemar kopi juga perlu minum lebih banyak air kerana kandungan kafein dalam kopi mempercepatkan anda kehilangan lebih banyak air daripada melalui proses kencing yang kerap.
Tubuh yang kekurangan air boleh mengakibatkan kesakitan sendi dan otot yang kronik, kesakitan pada bahagian bawah belakang, sakit kepala dan kehausan. Air kencing anda juga berbau kuat, amat kuning atau keperangan yang menandakan anda mengalami hidrasi.
Air perlu diganti lebih awal sebelum anda sendiri berasa kehausan. Kadar terbaik jumlah pengambilanair yang diperlukan adalah mengikut berat badan anda dan s\dibahagikan dua. Hasilnya anda mengetahui jumlah auns air yang diperlukan oleh tubuh anda sehari.
Contohnya jika berat anda ialah 160 paun, anda hendaklah minum sekurang-kurangnya 80 auns air sehari. Jika anda melakukan aktiviti senaman, anda menambah lebih lapan auns air pada setiap 20 minit ketika bersenam.
Jika anda berada dalam kapal terbang, langkah terbaik ialah meminum lapan auns air bagi setiap jam anda berada dalam pesawat itu.
Begitu juga jika anda tinggal di kawasan panas dan kering, anda perlu menambah dua auns lagi sehari dan ini bermakna keperluan harian air bagi tubuh anda boleh berganda dengan banyak mengikut persekitaran anda ketika itu.
Bukan semua air datangnya daripada yang diminum secara langsung tetapi kira-kira 20 peratus air juga datangnya daripada makanan yang dimakan setiap hari. Oleh itu minum air bermineral adalah yang terbaik kepada kesihatan berbanding dengan mengambil minuman ringan yang mengandungi gula dan berkalori tinggi.
Meminum teh herba yang baik bersifat diuretik juga elok begitu juga dengan jus buah yang mengandungi vitamin dan nutrien. Minuman yang mengandungi elektrolit juga berfaedah tetapi awaslah kandungan gula dan kalorinya.
Bagi mereka yang liat minum air mungkin anda boleh menambahkan hirisan lemon, limau nipis bagi memberi kelainan rasa kepada air minuman anda itu.

BIRO AGAMA

MASALAH BAPA SUKA BERCAKAP BOHONG

Persoalannya

Anggota keluarga kami ramai, kebanyakkannya mempunyai kerjaya yang baik, kami amat bahagia. Cuma ada masalah yang makin ketara dan membimbangkan kami. Orang tua kami suka bercakap yang tidak benar dengan kata lain, dia sudah menjadi pembohong. Kami semua sedar semua ini. Hendak kami nasihat, dia adalah bapa dan tidak mungkin dia menerima, bahkan akan mengundang padah. Kami buat keputusan meminta nasihat ustaz.

Jawapannya

NILAI manusia adalah pada akhlaknya, Tinggi akhlaknya, maka tinggilah juga nilai dirinya. Bukan shaja pada pandangan manusia, malahan pada sisi Allah SWT. Demikianlah sebaliknya.
Salah satu daripada ukuran utama ketinggian akhlak seseorang itu adalah berdasarkan budi bahasanya dan tutur katanya. Jika elok semuanya itu, maka InsyaAllah eloklah semuanya. Dia akan dihormati dan disegani.
Apabila insan, sampai ke tahap pembohong atau pendusta, maka hidupnya akan berubah. Nilai dirinya turun dan harga dirinya hampir tidak ada. Berkata benar adalah perkara asas yang dituntut oleh Islam terhadap umatnya. Oleh kerana itu wajib bagi Rasulullah s.a.w. bersifat benar yang disebut ‘Sidiq’.
Malah kita juga diwajibkan bercakap benar. Lawan bercakap benar adalah berbohong. Berbohong adalah haram. Orang yang suka bercakap bohong adalah orang yang boleh digolong ke dalam golongan yang ‘sakit jiwa’.
Orang seperti ini sentiasa berasa kekurangan yang amat sangat pada dirinya, lalu cuba mengatasi dengan berbohong. Tetapi dia tidal sedar dengan berbuat demikian, bukan sahaja boleh menyelesaikan permasalahan dirinya, malah akan lebih parah sehingga menjadi hilang harga diri dan merudum personalitinya.
Oleh kerana itu, atasilah masalah ini dengan memperbaiki sikap negatif seperti di atas dengan cuba bersifat positif dalam semua perkara. Berbohong adalah sifat yang amat negatif. Apabila seseorang berbohong tentang sesuatu perkara, maka banyak perkara lagi yang dia akan berbohong untuk menutup pembohongan yang pertama tadi.
Di dalam al-Quran, Allah SWT amat mencela si pembohong dengan menganggapnya sebagai orang yang tidak beriman. Firman Allah SWT mafhumnya : “Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itu orang-orang yang tabiat berdusta.” (surah an-Nahl ayat 105).
Firman Allah mafhumnya : “Celaka besar, pada hari (hari kiamat) itu, bagi orang-orang yang mendustakan. Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan.” (Surah al-Mutaffifiin ayat 10-11). Didalam hadis, banyak terdapat hadis yang mencela pembohong-pembohong.
Antaranya, sabda Rasulullah s.a.w (mafhumnya) : “Tanda seseorang itu munafik ada tiga, apabila dia bercakap dia bohong,apabila dia berjanji dia mungkiri, apabila diberi amanah, dia khianatinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w menganjurkan kepada umatnya supaya bercakap benar dan jangan berbohong kerana berbohong boleh membawa padah. Padah bukan sahaja di dunia, malah yang amat teruk nanti ialah di akhirat.
Dalam satu hadis daripada Ibnu Mas’ud, Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya) : “Hendaklah kamu sentiasa bercakap benar kerana benar itu membawa kepada kebaikkan dan kebaikkan itu membawa ke syurga. Dan jaga-jagalah kamu, jangan bertutur bohong kerana bohong itu membawa kepada dosa dan dosa itu membawa kamu ke neraka.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada hari kiamat nanti Rasulullah s.a.w pernah menyebut dalam satu hadis sahih (mafhumnya) : “Ada tiga golongan manusia, di akhirat nanti, Allah tidak mahu melihat mereka dan tidak mengampunkan dosa mereka dan bagi mereka seksa yang amat dahsyat. Pertama, orang tua penzina. Kedua, pemerintah atau ketua yang pembohong. Ketiga, orang miskin yang takbur”. (Riwayat Muslim).
Tiga golongan ini adalah golongan yang akan tersingkir, terhina dan terseksa di akhirat nanti. Salah satu daripada tiga golongan ini, pemerintah atau ketua adalah pembohong. Boleh kita fahami bersama bahawa bapa sebagai ketua keluarga adalah juga pemerintah atau ketua rumah tangga, sepatutnya dia menjadi contoh yang baik untuk seisi keluarga.
Dia harus bercakap benar dan mendidik anak-anak supaya bercakap benar, jika sebagai ketua keluarga bercakap bohong, apalah untung yang ada pada kita? Apakah keseronokkan berbohongitu menghindarkan diri daripada dosa dan neraka? Tentulah tidak pulang modal. Oleh itu, saya menasihati dalam kes seperti ini, insaflah diri, ubahlah kelakuan dan tutur kata. Sentiasalah bercakap benar. Wallahua’lam.

RESEPI

IKAN GORENG MANGGA

Bahan-bahan

1 ekor ikan siakap
2 kuntum bunga kantan
5 batang serai
2 sudu gula maltose
3 biji limau kasturi ( ambil airnya)
1 biji mangga muda
garam dan perasa secukupnya

Cara membuatnya:
1. Ikan siakap yang sederhana besar dibersihkan serta digoreng, ketepikan.
2. Bunga kantan, serai, gula maltose, limau kasturi dan cili padi dikisar.
3. Mangga di hiris halus serta digaulkan bersama bahan-bahan yang telah siap dikisar.
4. Masukkan bahan perasa secukup rasa.
5. Setelah sebati, letakkan di atas ikan yang telah siap digoreng tadi.


TOM YAM UDANG

Bahan-bahan

500 gm udang galah ( rebus dan belah belakang)
10 biji cili padi ( diketuk )
2 batang serai ( dititik )
2 biji tomato ( dibelah 4 )
1 biji bawang besar
5 helai daun limau purut
5 tangkai cili kering ( digiling )
3 biji bawang merah ( digiling )
1 tangkai daun bawang ( dihiris )
1 tangkai daun sup ( dihiris )
5 cawan air rebusan ayam
1.2 gm halia

Cara membuatnya :
1. Panaskan minyak dan tumiskan cili yang telah digiling, angkat dan asingkan.
2. Masukkan udang dan serai ke dalam air rebusan ayam dan masak hingga mendidih.
3. Masukkan daun limau purut, bawang besar, cili padi dan tomato.
4. Akhir sekali, masukkan cili giling yang telah digoreng tadi. Kemudian bolehlah disediakan untuk dihidangkan ketika masih panas.

PETUA

BUNYI EKZOS SIMBOL KUASA

Pastikan pilih produk yang selamat

KETIKA memandu, pernahkah anda terkejut mendengar deruman kuat secara tiba-tiba dari belakang sehingga membuatkan anda segera menjeling untuk memastikan dari mana datangnya bunyi itu.
Kadang-kadang anda tersenyum sendiri apabila mendapati bunyi yang hebat mengaum itu datangnya dari sebuah kereta yang comel saja namun memiliki paip ekzos yang besar, malah kadang-kadang ada yang memasang sampai dua ekzos. Bukan main bergaya lagi.
Lazimnya pemilik kereta memasang paip ekzos besar ini terdiri daripada golongan muda kerana merekalah yang gemar menukar aksesori kereta supaya kelihatan lebih canggih dan bergaya. Bukan apa, aksesori yang digayakan membuatkan mereka merasa hebat dan puas.
Kenapa kaki kereta ini suka menukar kepada ekzos yang besar? Selain untuk bergaya, ia berupaya menjadikan ngauman kereta lebih hebat dan gagah ketika memecut.
Apatah lagi jika ada yang menoleh, pasti pemilik kenderaan berkenaan terasa puas dan hebat. Jika anda ingin menukar ekzos perlu diingat ada dua jenis material ekzos biasa iaitu dari jenis stainless steel yang lebih berdaya tahan dan tidak mudah bengkok manakala sejenis lagi galvanese iron (GI).
Di Kuala Lumpur, kedai auto aksesori yang banyak menjual paip ekzos banyak di sepanjang Jalan Klang Lama. Ramai juga yang gemar ke Klang kerana di sekitar Bandar Klang ada banyak kedai yang menjual aksesori kenderaan dan harganya juga lebih murah. Banyak jenis paip ekzos dipamerkan, tetapi sepatutnya anda jangan hanya memandang kepada rupa bentuk yang sporty dan bunyinya saja.
Sebaiknya periksa sejauh mana system baru yang dipasang ini dapat meningkatkan prestasi pemanduan dan berkualiti. Seorang pakar paip ekzos tempatan memberikan saranan bahawa apabila memilih ekzos, ia bergantung kepada kereta yang anda pandu dan kapasiti enjinnya.
“Jika anda memandu kereta yang kapasiti enjinnya rendah tetapi menggunakan paip ekzos yang besar, ia akan membakar lebih petrol dan mengurangkan prestasi kenderaan,” Katannya.
Memilih system ekzos yang tepat bergantung kepada model dan enjin kenderaan yang berlainan. Sebab lain untuk menukar ekzos paip dengan mengambil kira spesifikasi kenderaan adalah kerana bentuk paip mengikut rekaan bengkok pada kenderaan.
Jadi, menukar ekzos bukan hanya memasang yang besar semata-mata tetapi mendapatkan yang betul-betul berkualiti, tahan lama, mengurangkan pencemaran dan bunyi selain menjamin keselamatan dengan menjauhkan pengeluaran gas daripada kereta.
Untuk membantu anda membuat pilihan dan menukar paip ekzos, semaklah 1KLASSIFIEDS www.1k.com,my yang sentiasa menyiarkan promosi daripada kedai auto aksesori.

Jenis Ekzos Pilihan

Tiga jenis modifikasi ekzos
1 Ekzos yang baik pulih dari tabung depan hingga ke perendam bunyi. Jenis yang ini memang menaikkan prestasi memecut kereta. Kebanyakkan mereka yang berkemanpuan dari segi kewangan gemarkan jenis ini, Modifikasi dibuat bermula bermula dari ruang ekstraktor ke tabung tengah dan terus ke ekzos belakang.
2 Proses baik pulih dibuat dari tabung tengah ke perendam bunyi tetapi cara ini hanya meningkatkan prestasi pemecutan kereta pada kadar yang sederhana.
3 Ada kereta yang ekzosnya besar tetapi kenderaan dibawa secara perlahan. Bagi jenis ini yang ditukar cuma perendam bunyinya saja. Dari segi prestasi tiada tetapi dari segi bunyi di atas jalan raya.

Tiga jenis ekzos yang biasa diminati

1 Ekzos nanas tidak menghasilkan bunyi bising walaupun saiznya agak besar.
2 Ekzos tabung jenis ini menghasilkan bunyi bising biasanya diguna pada pemilik kereta Kancil dan Satria supaya kelihatan lebih hebat dan bergaya.
3 Ekzos paip berkembar jenis ini bentuknya sama dengan ekzos nanas tetapi dari kelebihannya adalah prestasi pick up kereta menjadi hebat.

KENALI AHLI KELAB






Nama : Encik Abd Ghani Bin Salleh
Bahagian : Plant Maintenance / Fabrication
Tarikh Masuk : 1 April 1984
No. Pekerja : 1010743
Jawatan : Eksekutif QAQC & Tenaga pengajar ITP
Umur : 46 tahun
Asal : Kelantan
Status : berkahwin
Pendidikan : SPM
Hobi : MTB & Memancing

Sunday, June 20, 2010

KENALI PULAU KAPAS


Di rakam pada jam6.30 petang di Pantai kelulut

KENALI PULAU KAPAS

Pengenalan Pulau Kapas

Sebuah pulau yang tidak ada penduduk tetap, hanya pelancong dan nelayan yang singgah sementara waktu. Pulau Kapas terletak di dalam Daerah Marang, Terengganu Darul Iman. Dianggarkan keluasan Pulau kapas memanjang 3km lebih dan lebar 1km lebih. Persekitaran Pulau yang menakjubkan memberi satu kepuasan kepada para pelancong yang datang. Di sebelah Pulau kapas ialah Pulau Gemia. Jarak antara Pulau Kapas dan Pulau Gemia hanyalah 100 meter sahaja. Pulau Gemia di penuhi dengan batu batan hanya sedikit sahaja tanah berpasir.

Jarak Perjalanan

Jarak perjalanan daripada Daerah Kemaman ke Daerah Marang ialah 123km ataupun jikalau berkenderaan 2 jam 15 minit. Untuk ke Pulau Kapas, di sekitar jeti di Bandar Marang ada menyediakan perkhidmatan Bot pelancong. Daripada jeti Bandar Marang ke Pulau Kapas memakan masa 45 minit untuk sampai.

Waktu Bot Berlepas

Daripada Jeti Bandar Marang ke Pulau Kapas
9:00 pagi, 11:00 pagi, 1:00 petang, 3:00 petang dan 5:00 petang

Daripada Pulau Kapas ke Jeti Bandar Marang
9:30 pagi, 11:30 pagi, 1:30 petang, 3:30 petang dan 5:30 petang

Harga Tiket

Kadar tiket bagi orang dewasa RM40.00 pergi dan balik.
Kadar tiket bagi kanak-kanak (5 tahun ~ 12 tahun) RM20.00 pergi dan balik

Keselamatan

Parking kereta yang selamat, penyediaan Baju Keselamatan bagi penumpang bot.

Syarikat Perkhidmatan Bot dan Chalet

Ada lebih kurang 15 buah syarikat bot dan Chalet yang didaftarkan. Salah satunya syarikat Suria Link Boat Service 019-9839454 Encik Zakaria Sulong.

Waktu Paling Sesuai berkunjung Ke Pulau kapas

Bermula bulan Macrh sehingga bulan Ogos setiap tahun. Kemuncaknya bulan Jun dan bulan Julai. Kerana bulan ini acara mencandat sotong secara promosi kerajaan negeri dan badan-badan NGO.

Kemudahan

Tempat penginapan (Chalet & Khemah) ada disediakan dengan harga berpatutan. Kemudahan elektrik dan air sentiasa dipantau oleh jabatan berkenaan. Begitu juga kemudahan surau dan dewan orang ramai sentiasa terjaga. Keadaan tandas dan bilik air awam yang sempurna. Dan ada pihak syarikat serta Chalet menyediakan sewa bagi kemudahan peralatan menyelam dan permainan apa-apa jenis sukan pun.

KENALI PULAU KAPAS


Di rakam pada jam 8pagi 8.6.2010 di Pantai Rusila

KENALI AHLI BERHENTI






Nama : Encik Wan Shamsuddin Bin Wan Wan Muda
Bahagian : Plant Maintenance / Planner
Tarikh Masuk : 1991
Tarikh Berhenti : Mei 2010
Jawatan : Planner
Umur : 42 tahun
Asal : Terengganu
Status : berkahwin
Sebab-sebab Berhenti : Buka Perniagaan Sendiri

KENALI AHLI BERSARA



Nama : Tuan Haji Muhammad Bin Jusoh
Bahagian : Human Resourser :
Tarikh Tamat : April 2010
No. Pekerja : 1130384
Jawatan : Supervisor
Status : berkahwin
Pekerjaan Selepas Bersara : Ahli Perniagaan
Tempat Tinggal Sekarang : Tmn. Perumahan Perwaja Kemaman