Thursday, July 26, 2012

WARGAKILANG: Bantuan Ramadhan di Kemaman Terengganu

Baru-baru ini saya ada terdengar tazkirah seorang Ustaz yang memetik kata-kata Orang Alim, katanya: Kalau Allah SWT hendak memberi kebaikan kepada seseorang itu, tambah-tambah pula di bulan ramadhan ini, maka Allah SWT akan jadikan orang itu sibuk dengan urusan/kerjabuat untuk memberi kebaikan kepada orang lain. Maksudnya, sibuk dengan kerja-kerja amal dan kebajikan. Sebab itu, bila ada seorang sahabat dari Terengganu hantar email ajak Jalan-Jalan Masuk Kg bagi sumbangan kepada orang-orang miskin di sana; walau pun ambik masa 7 jam perjalanan dari Kedah ke Tganu, tapi sebab dok ingatkan tazkirah Ustaz tadi, saya gagahkan juga diri untuk turun ke Kemaman, Terangganu hari Sabtu 28 Julai ini. Mudah-mudahan ada kebaikannya menanti di sana. Sebut pasal Kemaman, kalau kita google Internet bab Isu Kemiskinan di Malaysia, Daerah Kemaman sama naiknya dengan Baling, daerah kelahiran saya di Kedah sana. Kedua-dua daerah ini termasuk dalam kawasan kajian awal kemiskinan di Malaysia oleh Prof Diraja Ungku Aziz di sekitar tahun 60an dulu. Secara kebetulan orang rumah saya orang Kemaman, lahir dan dibesarkan dalam keluarga Nelayan yang serba kekurangan. Maka bila anak Penoreh Getah dari Baling Kedah bertemu jodoh dengan anak Nelayan dari Kemaman, Terengganu; kisah kemiskinan terus menjadi sebahagian daripada sejarah keturunan kami. Mungkin kerana kami berdua pernah hidup dalam kemiskinan agaknya, maka bila ada kawan ajak turun padang bantu orang miskin, mudah saja kami berbuat demikian. 1. Rumah pusaka arwah mak/pak mertua saya di Kemaman – tidak ada lagi adik beradik yang tinggal di sini setelah masing-masing berkeluarga. Semua sekali, insyaallah ada 20 buah keluarga miskin yang bakal menerima sumbangan bagi meringankan beban mereka menempuh saki baki baki Ramadhan yang tinggal. 2. Melihat gambar anak kecil ini mengingatkan isteri saya dirinya sewaktu kanak-kanak tatkala menanti kepulangan arwah ayahnya dari laut - entah kan pulang entah kan tidak!. 3. Dua anak kecil ini girang bermain di sebalik kain langsir yang sudah luntur di rumah papan berdinding kayu plywood using. Ibunya hanya bergantung kepada upah siang ikan sekilo 60 sen untuk makan minum mereka sehari-hari. Bayangkan kalau nak beli beras 10kilo RM25, kena siang 40 kilo ikan!! – orang macam mereka ini, kalau ada orang boleh bagi beras, pasti amat-amat menghargainya. 4. Ini pula adalah rumah typical kaum Nelayan di Kuala Kemaman, insyaallah antara yang tersenarai dalam list penerima sumbangan nanti. (Rumah berbumbung dan berdinding Zink Usang dihadang dengan kain/kanvas) 5. Lantai rumah serupa sahaja luar dan dalam. 6. Menunggu masa menyembah bumi) 7. Makcik Tua ini pula terkejut dengan kunjungan sahabat kami sewaktu Team NGO Wargakilang Pantai Timur masuk ke kg-kg di Kuala Kemaman mengenal pasti keluarga yang layak menerima bantuan. 8. Menurut sahabat kami, keluarga ini adalah yang paling daif antara semua. Ayah bekerja tidak menentu, anak-anak 4 orang. Si kecil ini OKU. Ibunya pula walau pun baru 40an tapi raut wajah nampak macam orang berusia 60n, mungkin kurang zat makanan agaknya. Keluarga ini tinggal di sebuah rumah kedai zaman dulu-dulu, amat usang seperti sebuah gudang lama, tak sangka ada orang boleh tinggal dalam gudang macam ini, dengan lantai simen lama sudah nipis hampir menyamai lantai tanah. Insyaallah kami akan ke sana nanti. Akhir sekali adalah dalam gambar seorang Ibu Tunggal anak 5; bila tengok gambar dia, terus saya teringatkan kisah seorang Ibu Tunggal di Baling, Kedah bernama Kak Mazni yang pernah kami bantu suatu ketika dulu. Apa tidaknya, sampai mati pun saya tak akan lupakan Kak Mazni – beliau menangis teresak esak bila saya hulurkan Duit Note RM50. Dia kata, “Terima kasih lah adik, terima kasih banyak-banyak (sambil menangis tersedu-sedu), orang ingat kakak ni senang, kakak ada duit, walhal anak-anak kakak pergi sekolah tak makan apa, tak bawa duit…” Sungguh saya tak sangka RM50 itu bagi sesetengah orang cuma untuk sekali bubuh minyak kereta saja, tapi bagi Kak Mazni besar nilainya. Macam itu juga dengan Kakak dalam gambar di bawah ini, cuti Raya Cina 2012 yang lalu, kami ada singgah di rumah beliau bagi sumbangan beras gula kopi serba sikit. Bila dia dapat beras sekampit pertama yang kawan-kawan bawa turun dari kereta saya tu, terus Kakak ini cakap: “ALHAMDULILLAH – HARI INI DAPAT LAH MAKAN NASI” Bila kami longgokkan brg2 lain sampai bertimbun-timbun kat pelantar rumah dia, kakak ini tak habis-habis mengucapkan TIMA KASIH TIMA KASIH berulang-ulang kali; dia tak tau nak kata apa sampai merah mata dia bergenang dgn air mata, menangis tanda berterima kasih bersyukur tak terkira. Tak sangka - ada orang menangis bila dapat beras! Tanpa ditanya, kakak ini terus mengadu kat kami, dia kata dia ada 5 orang anak-anak yg masih bersekolah yg perlu disara. Tiap-tiap pagi bila bangun tidur, dia kena fikir macam mana nak dapatkan RM15 untuk hari itu supaya anak-anaknya ada makanan untuk dimakan. Kadang2 dia amik upah siang ikan keropok (60 sen sekilo isi ikan), kdg2 ambik upah kemas rumah orang dan apa saja pekerjaan halal untuk dapat RM15 itu. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Walaupun kalian semua tidak mengenali kakak ini dan juga watak-watak lain dalam coretan saya ini, tapi percayalah mereka semua adalah SANAK SAUDARA kita, yang dihubungkan secara ghaib melalui kalimah SYAHADAH yang ada di dada-dada kita. Maka itu, kalau ada masa, mai lah join team kami, NGO WARGAKILANG yang baru belajar nak bertapak di Pantai Timur ini – maghi lah bersama sama kami berkumpul di parking lot Masjid Geliga, Kemaman seawal jam 8.00 pagi, Sabtu 28 Julai 2012. Bawalah apa yang ada, insyaallah jika diizinNya kita akan membawa sumbangan untuk 20 keluarga. Moga kerja buat kita untuk memberi kebaikan kepada orang lain ini akan dicatakan sebagai pahala kebaikan daripada Allah SWT untuk kita semua. Terima Kasih. 24.7.12 Admin: Menitis air mata penulis membaca kisah fakir miskin. Sesungguhnya kemiskinan itu sangat hampir dengan kekufuran jika ilmu agama kosong. Bantulah wahai sahabatku sekian. Selamatkan sahabat kita daripada kemiskinan.

Tuesday, July 17, 2012

8 kali Ibu berbohong?

8 kali Ibu berbohong? Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian. Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : "Makanlah nak ibu tak lapar." PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA. Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan waktu senangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA. Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA. Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT. Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki." PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA. Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit" PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM. Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang." PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH. Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." . PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali. Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ibu, maafkan saya. Sayang ibu.

Monday, July 16, 2012

100 rentung cuba cedok minyak tumpah

ORANG ramai dan pasukan penyelamat melihat mayat-mayat mangsa yang rentung berikutan sebuah lori tangki yang membawa minyak terbakar dan meletup. 100 rentung cuba cedok minyak tumpah PELABUHAN HARCOURT, Nigeria - Lebih 100 orang yang cuba mengambil minyak petrol daripada sebuah lori tangki yang terbalik, maut apabila kenderaan itu disambar api. Wanita dan kanak-kanak merupakan antara mangsa yang rentung. Sementara berpuluh-puluh yang lain mengalami kecederaan serius. Sebelum itu, pasukan tentera memberi amaran bahawa kebakaran boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Lebih 85 orang mangsa kemudian dikebumikan dalam satu kubur. "Lori tangki itu terbalik kerana cuba mengelak tiga buah kenderaan dari arah bertentangan," jelas Ketua Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya Persekutuan, Kayode Olagunju. Tidak lama kemudian, beratus-ratus penduduk tempatan di Ahoada memenuhi lokasi kejadian untuk mencedok minyak yang tumpah. Kebanyakan mangsa yang mati ialah pemandu teksi motor, dikenali sebagai Okada. Beberapa buah jengkaut dibawa untuk menggali kubur besar untuk mengebumikan mangsa yang mayat mereka rosak teruk dan sukar untuk dikenal pasti atau diangkat ke tempat lain. Menilai kepada tahap kecederaan mangsa yang dirawat di hospital, jumlah kematian mungkin akan terus meningkat. Kebocoran minyak dan kemalangan lori tangki sering berlaku di negara Afrika yang kaya dengan hasil minyak itu. Pada Oktober 1998, lebih 1,000 orang maut di Jesse, negeri Delta apabila sebuah paip saluran minyak meletup ketika orang ramai sibuk hendak mencuri minyak Admin: Rakyat Malaysia pun lebih kurang jugak perangai macam ini.

Wednesday, July 11, 2012

Basikal: Terengganu cipta hatrik

BARISAN pelumba Terengganu yang memenangi pingat emas acara ujian masa berpasukan sejauh 80 kilometer pada Sukma ke-15 semalam. Pelumba basikal Terengganu melakar hatrik apabila meraih pingat emas dalam acara ujian masa berpasukan lelaki semalam. Pada perlumbaan sejauh 80 kilometer (km) yang bermula dan berakhir di Klinik Kesihatan Temerloh itu, Terengganu yang dibarisi Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri, Muhammad Khairul Azizi Abdulladan dan Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri merakamkan masa 1 jam 34:38.909 saat. Ia merupakan kejayaan ketiga berturut- turut buat skuad Terengganu selepas mereka meraih emas pada temasya 2008 di Terengganu dan edisi 2010 di Melaka. Jurulatih Terengganu, Syed Mohd. Husaini Syed Mazlan menjadi individu paling gembira selepas melihat kejayaan anak- anak buahnya itu. Menurut Syed Mohd. Husaini, kejayaan itu dicapai apabila setiap pelumba memberikan fokus berdasarkan latihan yang dijalani sebelum ini. "Sebelum menghadapi Sukma di Pahang, para pelumba telah menjalani latihan selama lima bulan sebelum saya memberikan tumpuan di laluan perlumbaan sebenar selama dua minggu. "Berdasarkan latihan itu, kami membuat post-mortem bagi mengenal pasti kelema- han sebelum menghadapi perlumbaan sebenar," kata Syed Mohd. Husaini. Pingat perak acara itu dimenangi Negeri Sembilan yang terdiri daripada Mohd. Ekbar Zaman Huri, Amirul Anuar Jafri, Abdul Rashid Ibrahim dan Mohamad Fairet Rusli dengan catatan masa 1 jam 39:12:797s. Brunei yang dibarisi Azmi Abd Hadzid, Ahmad Rifa'ie Johor, Muhammad I'maadi Abd. Aziz dan Muhd. Syazwi Azhar Muhd. Hairolrani meraih pingat gangsa dengan catatan masa 1:40:53:516s. Dalam pada itu, barisan pelumba Pahang terlepas peluang meraih sekurang-kurangnya pingat perak apabila penyertaan mereka dibatalkan gara-gara memasuki laluan yang salah. Pengurus pertandingan acara berbasikal Sukma ke-15 Pahang, Aminudin Sulaiman berkata, akibat kesilapan tersebut pelumba-pelumba Pahang terpaksa melalui jarak laluan 800 meter lebih jauh daripada laluan asal. "Masalah itu berpunca daripada kekeli- ruan yang ditimbulkan pegawai bertugas di simpang Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Perang. "Kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku itu meranapkan impian pasukan Pahang bagi merebut sekurang-kurangnya pi- ngat perak," kata Aminudin.