Tuesday, June 14, 2011

Kambing wajah filem animasi




PELIK...Zakaria menatang anak kambing kesayangannya yang dilahirkan tiga hari lalu menampilkan keunikan pada wajahnya.

ALOR GAJAH: Seekor anak kambing yang baru tiga hari dilahirkan di Kampung Baru (2) Gadek berwajah pelik menyerupai watak makhluk asing ‘Sully’ dalam filem animasi ‘Monster Inc’ dan didakwa mengeluarkan suara seperti bayi.
Anak kambing diberi nama ‘Mewa’ sempena singkatan ‘Istimewa’ oleh pemiliknya, Zakaria Husin, 70, yang mula menyedari keanehan pada haiwan ternakannya itu yang dilahirkan kembar di kandang miliknya.

“Ibu kambing itu melahirkan anak kembar dan ketika hendak membersihkan bendalir pada tubuh seekor anak kambing itu, saya terkejut melihat wajahnya yang pelik tidak seperti kebanyakan kambing lain dengan matanya tersembul keluar. Seekor lagi anak kambing itu dilahirkan normal,” katanya.
Lebih mengejutkan, Zakaria mendakwa anak kambing itu tidak mengembek kerana bunyinya seakan-akan bayi menangis dan ada ketikanya dia mendengar ia seolah-olah menjerit perkataan ‘mak’.

“Saya kasihan melihat keadaan fizikalnya dan disebabkan wajahnya yang unik itu menyebabkan dia sukar berdiri dengan betul dan kepalanya bergoyang ke kiri dan juga ke kanan serta tidak stabil, selain lidahnya terjelir sejak lahir,” katanya.

Menurut Zakaria, ‘Mewa’ tidak boleh menyusu ibunya sendiri kerana lidahnya sentiasa terjelir dan dibantu dan jika tidak ia tidak duduk diam, malah akan mula merengek seperti bayi

‘Main hingga wisel penamat’


WIRA TERENGGANU...Ahmad Nordin (tengah) bersama Abdul Hadi Yahya (kanan) meraikan kemenangan selepas pasukannya menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

“MAIN sehingga wisel penamat ditiup”. Itu amanat jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim yang ditunaikan barisan pemain Peteh yang menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan memasuki minit ke-20 masa tambahan untuk menjulang Piala FA, malam kelmarin.
Menurut jurulatih berusia 60 tahun itu, beliau sudah mengingatkan kepada pemain supaya menamatkan permainan bagi mengelak ke penentuan sepakan penalti.

“Ternyata mereka komited dan fokus dalam melaksanakannya. Malah bangkit daripada ketinggalan adalah perkara biasa yang kami sudah lakukan dalam beberapa perlawanan termasuk ketika menewaskan Pahang di separuh akhir Piala FA,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
Tambah Irfan Bakti yang turut menjulang Piala FA ketika membimbing Pulau Pinang pada 2002, ketiadaan pemain pertahanan tengah lawan, S Subramaniam dan pemain tengah, Mohd Shakir Saari pada penghujung perlawanan membuka peluang keemasan kepada pemainnya.

“Saya tidak tahu sama ada dia (Subramaniam) benar-benar mengalami kecederaan atau sengaja melengahkan masa perlawanan namun saya rasa ketiadaannya menyebabkan ada ruang kosong ditambah pula selepas itu Mohd Shakir turut dikeluarkan,” katanya.

Ketiadaan dua pemain itu nyata membawa padah apabila rembatan Abdul Manaf Mamat yang gagal ditampan kemas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang kemudiannya ditanduk masuk ke gawang sendiri oleh Mohd Daudsu Jamaludin, membolehkan Terengganu menafikan gol awal Kelantan, Mohd Nurul Azwan Roya.
Irfan bagaimanapun mengakui pada peringkat awal terdapat pemainnya yang takut untuk memegang bola sehingga ada gerakan individu yang mampu dilakukan tidak mampu dilaksanakan malah sesetengah pemain sudah berputus asa apabila Kelantan menjaringkan gol.

Namun percaturan Irfan menjadi apabila pemain gantian, Ahmad Nordin Alias membalas kepercayaan dengan meledak gol kemenangan m-110.

Tuesday, June 7, 2011

Didakwa atur keputusan



MALU...Yusarman dibenarkan ikat jamin RM25,000

SEREMBAN: Isu rasuah skuad bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan memasuki fasa baru apabila jurulatih pasukan itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas 21 pertuduhan mengatur keputusan perlawanan membabitkan suapan wang berjumlah RM24,900, dua bulan lalu.
Yusarman Yusof, 35, yang berpakaian serba gelap kelihatan tenang dan menganggukkan kepala sebagai tanda faham terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan di depan Hakim Datin Nursinah Adzmi.
Bapa kepada dua anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan dan meminta untuk dibicarakan.

Mengikut sembilan pertuduhan awal, Yusarman didakwa dengan niat bersama dua individu yang masih bebas secara rasuah memberi suapan wang tunai berjumlah RM300 kepada setiap sembilan pemain bola sepak skuad Piala Presiden Negeri Sembilan di Pusat Komersial Cempaka, Senawang, kira-kira jam 9 malam, 19 April lalu.

Suapan itu bertujuan sebagai dorongan supaya semua pemain berkenaan membantu menjaringkan gol dan memberi peluang kepada pasukan bola sepak Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy memperoleh gol apabila mendapat isyarat daripada seseorang dalam perlawanan di Stadium Bertam, Pulau Pinang, 21 April lalu.

Monday, June 6, 2011

‘Bir halal’ jadi haram


JOHOR BAHRU: Mengejutkan apabila ujian makmal yang dijalankan terhadap minuman yang popular sebagai `bir halal’ di kalangan pengguna Islam dikesan mengandungi alkohol pada kadar melebihi jumlah dibenarkan syariat.
Penemuan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus itu terbongkar selepas pengguna yang meragui minuman itu membuat aduan kepada Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan membawa sendiri ‘bir halal’ itu untuk dianalisis, seterusnya mendapatkan kepastian.

Menurut sumber, JAJ kemudian menghantar sampel minuman ke Jabatan Kimia untuk pengesahan dan hasil ujian makmal yang dijalankan mendapati bir halal diperbuat daripada pelbagai perisa buah-buahan itu mengandungi 0.5 peratus kandungan alkohol.
“Berikutan penemuan itu, JAJ memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“JAJ perlu memaklumkan penemuan itu kepada Jakim kerana difahamkan minuman itu menjadi kegemaran ramai dan selama ini dianggap halal. KDRM pula perlu mengambil tindakan lanjut kerana minuman itu diimport dari luar negara,” katanya.

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin ketika mengulas perkembangan itu berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman yang dibenarkan syariat Islam ialah tidak melebihi 0.01 peratus.
“Makanan atau minuman disahkan halal jika terdapat kandungan alkohol tidak melebihi 0.01 peratus. Ulama bersepakat menetapkan jumlah alkohol dengan kuantiti itu kerana ia boleh terhasil dalam makanan dan minuman secara semula jadi.

“Kuantiti itu amat kecil dalam kebanyakan buah-buahan serta tumbuh-tumbuhan. Ia bukan najis dan boleh dimakan atau diminum umat Islam,” katanya.
Sementara itu, sumber Jakim berkata, kebanyakan pengguna Islam yang gemar minum minuman itu mungkin tidak menyangka kewujudan alkohol dalam minuman itu berikutan ia dikilang dan diimport dari negara Islam di Timur Tengah.

Menurutnya, tambah meyakinkan apabila label pada luar produk berkenaan tertera tulisan minuman itu bebas alkohol dan hadir dalam pelbagai jenis perisa buah-buahan.

“Ia mula popular sejak lebih setahun lalu di kalangan masyarakat apabila minuman botol itu mudah diperoleh di kedai runcit, restoran termasuk kafe pada harga antara RM3 hingga RM5 sebotol.

“Persoalan bagaimana alkohol ini wujud dalam minuman ‘halal’ berkenaan masih dalam siasatan berikutan ia berkemungkinan di kilang di dalam bangunan sama dengan minuman keras,” katanya.

Apabila ustaz pun minum bir...


BERSETUJU betul saya supaya penggunaan istilah ‘bir halal’ dihentikan sebab perkataan tersebut tidak sesuai dan boleh mengelirukan umat Islam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, ‘bir’ secara umum diketahui umat Islam adalah haram, dan tentu sekali tidak munasabah digunakan kepada minuman yang tidak beralkohol.

Saya pun hairan mengapa ada pihak yang pakai istilah ‘bir’ untuk minuman yang dijual kepada orang Islam. Kalau sudah tahu minuman tersebut tidak beralkohol, kenapa hendak panggil ‘bir’?

Bagi kita ‘bir’ termasuk dalam kategori arak. Seluruh planet bumi tahu – seperti yang ditegaskan dalam al-Quran – bahawa arak adalah haram, dan minum arak adalah salah satu dosa besar.

Tentulah mengaibkan jika dikatakan orang Islam di Malaysia, termasuk para ustaz, minum bir. Orang pun boleh keliru dan bertanya mengapa Jakim halalkan bir?

* MUNGKIN ada pihak yang memang suka dengan istilah ‘bir’. Sama ada disedari atau tidak negara kita telah menghalalkan bir sejak berpuluh tahun lalu, iaitu ‘rut bir’ atau dalam istilah asalnya ‘roots beer’, sejenis minuman tanpa alkohol yang begitu popular. Saya sendiri sebagai Islam tulen telah meneguk ‘bir’ tersebut tiga empat tempayan sejak zaman remaja.

Apa pendapat Jamil Khir dalam hal ini? Saya cadangkan istilah ‘bir’ pada ‘rut bir’ dibuang, dan minuman kegemaran ramai itu disebut hanya ‘rut’.

Sekiranya ‘rut bir’ boleh terus digunakan, nanti ada orang lain yang taasub dengan istilah ‘bir’ ambil kesempatan lalu mencipta minuman tanpa alkohol dan menamakan ‘tebu bir’, ‘tembikai bir’, ‘longan bir’, ‘sirap bir’.

Alangkah aibnya Islam sekiranya setiap gerai, kedai, restoran menjual lebih banyak minuman bir dari minuman jenis lain. Lucu juga sekiranya majlis kenduri tahlil pun dihidangkan ‘bir’ sebagai penghilang dahaga.


* BERCAKAP mengenai istilah yang mengelirukan Islam, sebenarnya bukan setakat ‘bir’. Makanan segera kegemaran ramai ‘hot dog’ pun boleh mengelirukan. Macam mana orang Islam boleh makan ‘anjing panas’?

Opah di kampung Hulu Muar mesti terkejut, malah mungkin pengsan, apabila mendapat tahu cucunya yang baru jadi orang KL sudah pandai makan ‘anjing panas’, dan mula minum ‘bir’.

Satu lagi istilah yang pada hemat saya sengaja digunakan oleh pihak tertentu untuk mengelirukan orang Islam ialah ‘bacon’. Buka mana-mana kamus Inggeris, istilah tersebut bermaksud ‘daging babi’.

Oxford English Dictionary menyebut ‘bacon’ sebagai ‘salted or smoked meat from a pig’, atau ‘daging babi yang dibubuh garam atau disalai’. Sama seperti arak, babi pun ditegaskan dalam al-Quran sebagai haram.

Tetapi sekarang ‘bacon’ telah dihidangkan kepada umum, termasuk kepada orang Islam, secara terbuka baik di restoran, hotel dan tempat-tempat makan eksklusif. Orang Islam pun makan ‘babi’.

Pihak restoran, hotel dan kedai kek menggunakan istilah ‘bacon’, seperti ‘beef bacon’, ‘chicken bacon’. Mungkin tidak lama lagi akan ada pula ‘arnab bacon’, ‘tenggiri bacon’, ‘patin bacon’, ‘belut bacon’.

Mengapa perlu guna istilah ‘bacon’ untuk daging lembu, ayam dan sebagainya? Apakah tidak boleh gunakan ‘daging lembu salai’ atau ‘ayam salai’. ‘Bacon’ memang daging babi, kenapa hendak dikaitkan dengan lembu atau ayam?

Inilah yang orang kata ‘mengada-ngada’, atau ‘pandai tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar’. Molek sekali pihak berkuasa agama Islam, khasnya Jakim, melarang penggunaan istilah ‘bacon’ untuk daging halal yang dijual kepada pengguna Islam.

* AKHIR kalam, tidak sahaja istilah asing, istilah tempatan juga hendak dikelirukan. Contoh, tidak lama dulu ada pihak dengan idea ‘amat bergeliga’ hendak menjual ‘bak kut teh’ untuk pengguna Islam.

‘Satu Malaya’ tahu bahawa istilah ‘Bak kut teh’ bererti ‘sup babi’, iaitu makanan kegemaran orang Cina. Mana boleh orang Islam makan babi? Konon, nama ‘bak kut teh’ hendak dikekalkan, cuma bahannya bukan dari babi tetapi dari daging halal seperti lembu, kambing, ayam dan sebagainya.

Tidakkah pelik, bodoh, lagi mengelirukan pakai nama ‘sup babi’ tetapi guna bahan daging lembu? Ini betul-betul kes ‘gila-gila babi’.

Syabas kepada NGO-NGO Islam juga Jakim yang peka dan menolak idea kartun ini. Kalau tidak nanti media barat yang anti Islam akan menghina kita dengan tajuk berita ‘Islam di Malaysia makan sup babi’.

Thursday, June 2, 2011

Bookie dedah rahsia T-Team


KUALA TERENGGANU: “Ada seorang pemain memiliki RM27,000 di dalam akaunnya. Selepas didesak, dia mengaku itu imbuhan hasil mengatur perlawanan,” demikian kata seorang jurulatih pasukan T-Team mengenai amalan rasuah dan mengatur perlawanan oleh pemain pasukan itu tahun lalu.
Jurulatih yang enggan namanya disiarkan itu berkata, dia mendapat maklumat mengenai kegiatan itu selepas didedahkan sendiri ahli sindiket perjudian bola sepak atau bookie yang cuba menjahanamkan kerjaya pemain terbabit yang sudah tidak mahu lagi menerima rasuah.
Menurutnya, beberapa pemain di bawah jagaannya cuba kembali ke pangkal jalan, namun tindakan mereka menimbulkan kemarahan bookie yang kemudian bertindak mendedahkan nama dan bukti kegiatan pemain mengatur perlawanan kepada pegawai pasukan.

“Seorang wakil bookie menghubungi saya sendiri untuk memberi nama pemain yang menerima wang rasuah dan saya juga diberitahu mengenai masa, tempat dan jumlah wang yang diberikan.

“Pertemuan saya dengan wakil bookie menunjukkan mereka enggan melepaskan pemain dan mahu membinasakan karier mereka.

“Saya mulanya sangsi dengan maklumat bookie itu, namun selepas membuat siasatan sendiri, jelas pemain itu mengatur perlawanan,” katanya.

Jurulatih itu berkata, dia terpanggil membuat pendedahan selepas bekas pengurus pasukan Piala Presiden T-Team, Mohd Sabri Abas, mendakwa pihak pengurusan tertinggi persatuan bola sepak tidak tegas menangani isu rasuah bola sepak.

Menurutnya, bookie bagaikan manusia bertopengkan syaitan kerana mereka cuma mementingkan diri tanpa mempedulikan nasib atau masa depan pemain yang menjadi ‘hamba’ mereka.

“Jangan bermain api kelak nanti membakar diri, jangan sesekali mendekati bookie, nanti menyesal diri. Saya tidak mahu pemain gelap mata dengan suapan ribuan ringgit.

“Sekali mereka terjebak, tidak ada lagi jalan keluar kerana mereka berada di dalam genggaman bookie sehinggalah kegiatan jahat mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Kata jurulatih itu lagi, ramai pemain yang terjebak dalam perangkap bookie sebenarnya masih bermain dengan pasukan lain dalam Liga Malaysia sekarang, cuma beliau tidak tahu sama ada mereka masih menjalankan kegiatan haram itu apapun sudah insaf.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Rozi Mamat, yang juga pengurus pasukan T-Team berkata beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai pemain pasukan itu menerima rasuah dan mengatur perlawanan musim ini.

“Saya bukan pengurus pasukan tahun lalu dan tidak dapat memberi komen mengenai kejadian itu namun saya yakin ia sudah pun ditangani dengan sebaik mungkin.

“Jika tidak ada laporan dibuat kepada pihak polis, ia mungkin kerana pengurusan tidak mempunyai cukup bukti untuk membabitkan pemain terbabit,” tegasnya.

Menurut Rozi, arahan pemantauan sudah dikeluarkan ke atas semua pemain agar pasukan bebas daripada jenayah berkenaan.

“Sekiranya ada bukti pemain mengatur perlawanan, kami tidak akan teragak-agak untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Pada masa sama, menurut sumber dalaman pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, belum ada laporan mengenai rasuah bola sepak dibuat setakat ini.

Bagaimanapun, katanya, siasatan membabitkan pemain bola sepak di Terengganu akan dimulakan secepat mungkin.