Sunday, May 30, 2010

Biro Agama - Apabila Sampai Ajal, Ia Tidak Boleh Ditangguh

Apabila Sampai Ajal, Ia Tidak Boleh Ditangguh


ALLAH SWT berfirman yang bermaksud, “Untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan.” (surah al-An’am:ayat 60)

Yakni ajal setiap manusia yang ditetapkan oleh Allah SWT yang tidak boleh diawal dan diakhirkan walaupun sesaat.

Allah berfirman yang bermaksud, “Kemudian kepada-NYAlah tempat kamu kembali.” (surah al-An’am : ayat 60)

Ertinya, kepada-NYA kamu akan dikembalikan pada hari kiamat dihimpunkan makhluk sejak Adam a.s. hingga hari kiamat.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Kemudian pula Ia menyatakan kepada Kamu apa yang telah kamu lakukan.” (surah al-An’am ayat 60)

Dia (Allah SWT) akan menjelaskan apa yang pernah kamu lakukan di dunia sama ada baik atau buruk, dosa atau pahala, halal atau haram, taat atau durhaka, iman atau kufur.

Seterusnya Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hamba-NYA, sama ada makhluknya yang ingkar atau beriman.

Allah SWT Maha Berkuasa untuk membinasakan makhluk-NYA yang kufur bila-bila masa dikehendaki-NYA dan memberi pertolongan kepada sesiapa yang menolong agama-NYA yang tidak boleh sesiapa pun mencabar-NYA.

Allah SWT mmbiarkan golongan kuffar itu untuk suatu tempoh tertentu kemudian Dia membinasakan mereka sekelip mata sahaja jika dikehendaki-NYA.

Jika tidak, mereka akan menerima pembalasan azab seksa tidak terperi sakitnya ketika mereka bertemu Allah SWT pada hari kiamat, di saat manusia menyesal di atas segala kejahatan yang dilakukan di dunia dahulu dengan penyesalan yang tidak ada gunanya lagi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu laukan).” (surah al-An’am ayat 61).

Ibnu Khatir menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa diutuskan untuk menjaga seluruh badan manusia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Bagi setiap orang itu ada malaikat penjaganya yang silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya. Yang mengawas dan menjaganya (dari suatu bahaya) dengan sebab perintah Allah SWT.” (surah ar-Ra’d ayat 11)

Yakni malaikat itu ditugaskan untuk mengawal dari segala arah kiri kanan dan depan belakang. Tiap-tiap seorang sentiasa dijaga dan diawas oleh malaikat-malaikat yang bergilir-gilir siang dan malam. Malaikat-malaikat ini ialah yang dikatakan ‘Malaikat hafazoh’ menurut keterangan syarak.

Mereka adalah lain daripada malaikat ‘Kiroman Katibin’ yang menulis amal yang baik dan yang buruk.

Allah SWT berfirman dalam ayat yang lain bermaksud, “Pada hal sesungguhnya ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu.” (surah al-Infitor ayat 10).

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan pembuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) menlainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (surah Qof ayat 17-18).

Seterusnya Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan kami (malaikat).” (surah al-An’am ayat 61)

Yakni apabila sesorang manusia sampai ajalnya, Allah SWT mengutus para malaikat untuk tujuan tersebut khususnya ‘Malikul Maut’ (malaikat yang ditugaskan mencabut nyawa atau roh manusia) yang mewakili malaikat-malaikat berkenaan.

Mereka mengeluarkan roh daripada badan manusia sehingga sampai ke halkum lalu Malikul Maut menyambut nyawa atau roh itu dan membawanya pergi sekali gus berpisahlah nyawa manusia itu daripada badannya dan sempurnalah kematiannya.

No comments:

Post a Comment