Wednesday, January 26, 2011





Bulan madu dalam lokap

ALOR SETAR: Baru seminggu bergelar raja sehari, sepasang suami isteri bukan sekadar meringkuk dalam tahanan, malah turut berdepan hukuman mati apabila kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.
Lelaki 35 tahun dan isterinya berusia 26 tahun, dianggap pasangan ‘sejiwa’ kerana kedua-duanya pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan mengedar dadah sejak beberapa tahun lalu sebelum membuat keputusan berkahwin minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, lelaki itu ditahan di Plaza Tol Gurun, kira-kira jam 3 petang Sabtu lalu manakala isterinya ditahan di rumah mereka di Kepala Bukit, Gurun, sejam kemudian pada hari yang sama.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan lelaki terbabit yang ketika itu menunggang motosikal bersendirian dalam keadaan mencurigakan di plaza tol.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui dua plastik lutsinar dipercayai heroin seberat 910 gram bernilai RM30,000 yang disorok di dalam plastik biskut dan diletak dalam raga motosikal Modenas Kriss itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke rumahnya di Kepala Bukit, Gurun dan hasil pemeriksaan menemui sembilan ketulan plastik mampat mengandungi heroin seberat 24.2 gram bernilai RM1,100.

Abdul Ghafar berkata, dadah yang diproses sebegitu kebiasaannya untuk tujuan penyeludupan dan suspek menelannya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kami masih menyiasat sama ada suspek melakukan taktik penyeludupan demikian yang biasanya dilakukan untuk menyeludup dadah ke dalam penjara,” katanya.

Turut dirampas, tiga telefon bimbit dan motosikal daripada pasangan itu.

Siasatan mendapati bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran dan polis masih menyiasat sama ada suspek menjalankan urusan jual-beli dadah ketika ditahan.

Abdul Ghafar berkata, kedua-dua suspek pernah beberapa kali ditahan akibat kesalahan dadah itu dikenakan tindakan Orang Kena Pengawasan (OKP) mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.








Kecoh mahu terjun

TEMERLOH: Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar, dekat sini, yang dipercayai diserang histeria bertindak luar dugaan apabila berdiri di koridor bangunan sekolah itu sebelum cuba untuk terjun, semalam.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu mengakibatkan hampir 1,000 pelajar sekolah itu terpaksa berhenti memberi tumpuan dalam kelas selepas melihat aksi menakutkan pelajar terbabit yang turut berlari atas koridor sambil mendepakan tangan seperti mahu terjun.
Lebih mencemaskan, pelajar terbabit yang dikatakan tiba-tiba menjerit kelihatan seperti hilang akal turut mencabut sekeping cermin tingkap kelas sebelum membaling ke bawah hingga menyebabkan tangannya cedera.

Rakan sekelas mangsa yang enggan dikenali, berkata dia yang melihat kejadian itu tergamam apabila rakannya itu menjilat darah yang mengalir di tangannya akibat tercedera ketika membaling cermin berkenaan.

“Tidak cukup dengan itu, dia turut bertindak agresif dengan membuka tudung lalu melemparkan ke bawah sambil kedua-dua kaki memijak lantai koridor seperti mahu terjun.
“Kejadian terlalu pantas menyebabkan sesi pembelajaran terganggu, malah saya sendiri tidak menyangka dia akan bertindak sedemikian,” katanya yang masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu, semalam.

Menurutnya, dia terpaksa menjauhkan diri kerana bimbang turut diserang histeria selain berdoa semoga terselamat daripada serangan histeria itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, berkata sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Temerloh, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis bergegas ke tempat kejadian dalam usaha menyelamatkan pelajar terbabit.

Menurutnya, pengurusan SMK Abu Bakar turut bertindak meletak beberapa keping tilam bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, pada masa sama, beberapa ahli keluarga mangsa yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan cuba memujuk mangsa, namun gagal sebelum pelajar terbabit diselamatkan pasukan penyelamat.

Beliau berkata, pelajar terbabit kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hohah) untuk menerima rawatan.

Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd Nadzri Ab Wahab, berkata pada masa sama, beberapa pelajar lain turut terkena histeria, tetapi keadaan terkawal dan pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat kerana pantas mengambil tindakan.

No comments:

Post a Comment