Tuesday, September 7, 2010

SELAMAT HARI RAYA

ALLAHUAKBAR, Allahuakbar, Allahuakbar. Lailaha Illallah Wallahu Akbar. Allahuakbar Walillahil Hamd.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

HARI Raya merupakan hari kemenangan. Kita meraikan kemenangan mengalahkan hawa nafsu dan kemenangan kerana berjaya melaksanakan perintah Allah SWT sepanjang bulan Ramadan. Bukan sahaja dengan berpuasa menahan makan dan minum, tetapi juga dengan qiyam, bacaan al-Quran serta amalan-amalan yang lain.

Justeru, kita disunatkan untuk memperbanyakkan takbir pada pada hari raya. Takbir membesarkan Allah SWT tanda keyakinan kita bahawa setiap kemenangan dan anugerah hadir dengan keizinan Allah SWT. Sehebat mana pun kejayaan yang kita miliki, perlulah diyakini bahawa ia tidak akan melebihi kebesaran yang dimiliki oleh Allah SWT.

Janganlah pula kegembiraan kerana menyambut kemenangan ini melupakan kita pada hakikat kebesaran Allah SWT. Ini kerana, hari raya yang sebenar adalah untuk mereka yang bersedia menghadapi hari pembalasan. Kata para hukama Arab, “Tidaklah hari raya itu untuk orang yang berpakaian baru, tetapi hari raya itu untuk orang yang takutkan hari yang dijanjikan (kiamat).”

No comments:

Post a Comment