Tuesday, May 17, 2011

Penantian tujuh tahun



KUALA TERENGGANU – Setelah tujuh tahun menanti, akhirnya skuad bimbingan Irfan Bakti berjaya melayakkan diri ke pentas akhir Piala FA apabila berjaya mengalahkan Pahang dengan agregat 5-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Bertemankan sorakan kira-kira 13,000 penyokong, aksi Terengganu ternyata tidak mengecewakan dengan beberapa siri cubaan bahaya ke gawang gol lawan seawal permainan bermula.

Terengganu yang hampir mencipta gol pada minit ke-31 menerusi sepakan percuma di luar petak penalti setelah Ismail Faruqi Asha’ari dikasari pemain Pahang, bagaimanpun tandukan deras Mohd Mazuki Yusof, sekadar melewati palang gol.

Tuan rumah membuka jaringan pada minit ke 36 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Abdul Hadi Yahya setelah dia dijatuhkan penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar Ali.

Tersentak dengan jaringan Terengganu, Pahang cuba menyusun rentak permainan, bagaimanapun beberapa percubaan bahaya pelawat berjaya dipatahkan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee.

Dalam keghairahan untuk memburu gol penyamaan, skuad kendalian Dollah Salleh dihukum menerusi jaringan pemain gantian, Mohd Ailim Fahmi Kamaruddin pada minit ke-85.

Kemenangan 2-0 ke atas Pahang mengesahkan pasukan tuan rumah bakal bertemu Kelantan di pentas final di Stadium Shah Alam, Selangor, 11 Jun ini.

No comments:

Post a Comment