Wednesday, March 14, 2012
Air mata keinsafan
KAJANG: Siapa sangka pada usia 60 tahun ada warga emas yang masih tidak tahu mengerjakan solat akibat terlalu leka dengan kehidupan dunia.
Itu antara pengalaman yang dilalui Pegawai Penjara, Zuriani Mamat, 37, atau lebih mesra disapa cikgu di kalangan penghuni penjara di situ.
“Saya tidak pernah bermimpi bakal bergelar cikgu di sini. Pada awalnya, saya hanya diminta memberikan sedikit ilmu agama kepada pesalah maklumlah diri sendiri pun masih kurang ilmu.
“Terfikir juga apa yang patut diajar sebab pada saya semuanya mereka sudah tahu. Di sini saya hanya mengajar perkara asas saja misalnya cara mengambil wuduk, solat, bacaan dalam solat, zikir dan lain-lain,” katanya yang sembilan tahun berkhidmat di penjara itu.
Pun begitu, sangkaan Zuriani meleset sama sekali apabila menemui seorang banduan warga emas berusia 60 tahun yang tidak tahu bacaan dalam solat. Waktu itu, hati kecilnya berasa sedih kerana pada usia begitu sepatutnya warga emas berkenaan tidak patut memberi alasan sedemikian.
“Saya tanya semula dengan warga emas berkenaan, adakah dia berkata benar atau hanya bergurau kerana mustahil tidak tahu bacaan dalam solat sebab jika tidak tahu bagaimana solat dia selama ini.
“Lalu warga emas berkenaan menjawab jujur dan mengakui dia sudah lama meninggalkan solat hingga lupa apa yang perlu dibaca. Sambil menangis dia meminta saya mengajarnya semula,” katanya.
Selain itu, Zuriani berkata, ada juga pengalaman manis apabila beberapa banduan bukan Islam dari Filipina, India dan China mendapat hidayah di penjara itu. Katanya, meskipun menempuh pelbagai cabaran dan dugaan, namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus memberi tunjuk ajar kepada mereka.
“Paling penting adalah sifat sabar kerana apabila berhadapan dengan banduan, setiap daripada mereka akan ada karakter yang berbeza serta perlu mainan psikologi yang tinggi. Adakala bukan semua boleh terima apa yang diajar.
“Kita pula tidak boleh terlalu tekan kerana khuatir akan terjadi perkara tidak diingini. Biasanya banduan tempatan masih boleh dikawal berbanding banduan asing yang selalu ikut perangai sendiri,” katanya yang mengajar segmen Halaqah di sini.
Beliau berkata, setiap modul yang diajar dikeluarkan Jabatan Penjara sendiri dan setiap sesi pembelajaran mengandungi 50 banduan.
Katanya, antara yang diajar adalah konsep 3T iaitu Talaqi, Tadarus dan Tahfiz yang diadakan setiap Selasa, Rabu dan Jumaat.
Waktu pembelajaran pula mengikut syif iaitu 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan jam 3 hingga 4.30 petang. Selain Zuriani, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut sama memberi ceramah kepada banduan berkenaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment