Sunday, August 29, 2010

IHYA RAMADAN

Al-Quran, karya sastera agung

Tuhan, turun di bulan Ramadan

AL-QURAN adalah suatu ‘karya agung’ Tuhan. Ia diturunkan ditengah-tengah masyarakat yang mengagungkan keindahan sastera dan mutu bahasa.

Maka, al-Quran tiba kepada masyarakat Arab dengan bekalan mutu bahasa bernilai tinggi. Oleh itu, seorang saudara saya pernah berkata, untuk memahami al-Quran itu sendiri, maka perlulah juga menguasai sastera Arab juga.

“Tidak lengkap mutu kefahaman jika tidak menguasai bahasa Arab,” katanya yang ragu dengan graduan agama Universiti tempatan. Benih keraguan itu bertunas ketika memikirkan ramainya ustaz yang seolah-olah tidak tahu sastera Arab.

Sastera Arab amat penting dalam upaya menguasai nas-nas yang dalam al-Quran. Tanpanya, mungkin kefahaman kita tidak cukup lengkap untuk menggali makna al-Quran, ibarat cangkul yang tidak cukup kuat untuk menggali ketika menggembur tanah untuk semaian benih-benih ilmu.

Ringkasnya, mutu gaya bahasa al-Quran yang tinggi telah merebahkan keangkuhan para penyair Arab jahili. Mereka sangka ucapan mereka bermutu lalu al-Quran menawarkan jalan bahasa sastera yang lebih rapi.

Majlis peluncuran karya sastera Tuhan juga dilakukan pada malam istimewa di bulan Ramadan; Lailatul Qadar, yang lebih baik daripada seribu bulan. Dan, nama sebuah surah; al-Qadr diperuntukkan dalam al-Quran. Sifat-sifat malam itu dicirikan sebagai berikut:-

“Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar… sejahteralah Malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar!” – Al-Qadr (1 – 5).

Sebab apakah kita berpuasa di bulan Ramadan kini? Jika soalan itu dimajukan kepada kita? Maka kita pun menjawab seperti yang Tuhan bekalkan jawapanNya di dalam al-Quran seperti di bawah ini.

“Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan al-Qur’an sebagai petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barangsiapa antara kamu hadir di bulan itu maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu.” – (Al-Baqarah, 185)

Maka, kita berpuasa bukan kerana tibanya Ramadan. Tetapi, umat Islam berpuasa kerana merayakan majlis peluncuran karya agung sastera Tuhan, iaitu al-Quran yang diturunkan pada malam Lailatul Qadar yang jatuh pada salah satu malam dan bulan Ramadan.

Kisah Umar ditanya Yahudi mengenal al-Quran.

Diriwayatkan oleh orang tua saya, katanya, pernah suatu ketika, Umar ditanya Yahudi, kenapakah umat Islam tidak meraikan al-Quran. Lalu, Tuhan mengilhamkan jawapan kepadanya.

Kami berpuasa di bulan Ramadan lalu merayakan Eid Fitri kerana al-Quran turun kepada kami. Lalu, di bulan Zulhijjah ketika nabi selesai menunaikan Hujjatul Wida’ (haji terakhir), maka itulah petandawahyu berakhir dan al-Quran sudah lengkap seiring dengan lengkapnya agama kami. Lalu kami raikan kesempurnaan al-Quran dan Islam itu dengan Aidil Adha pula.

Demikian kata Umar. Hari ini, jika orang-orang bukan Islam bertanya kepada kita, kenapa kita menyambut Aidil Fitri, kita kata – kerana sambutan sebulan berpuasa dan bukan kerana menyambut ulangtahun peluncuran karya sastera Tuhan’ al-Quran itu!

Alangkah dangkalnya jawapan itu. Demikian luasnya jurang perbezaan kefahaman para Assabiquun Al-Awwaluun (umat Islam terawal) dengan umat Isalam akhir zaman kini.

No comments:

Post a Comment