Wednesday, August 11, 2010

BIRO AGAMA - TAZKIRAH SEMINIT

MENYEGERAKAN BERBUKA, MENTAAKHIRKAN SAHUR

ALLAH SWT jadikan semua ibadat dihaisi dengan beberapa perkara sunat, kadang-kadang yang sunat lebih banyak dan perlu diberi perhatian terutama dalam ibadat puasa.
Bagi orang Islam yang mencintai sunnah Nabi s.aw. perlu membanyakkan ibadah yang sunat itu, kerana jika hanya menumpukan yang wajib sahaja umpama orang makan nasi hanya nasi semata-mata tanpa lauk pauk.
Tentulah terasa kekurangannya, tiada manusia yang menikmati hidangan semata-mata nasi putih tanpa lauk pauk dan sebagainya.
Perkara sunat yang pertama; ialah mentakhirkan sahur sekira-kira selesai sahaja menikmati hidangan sahur, maka fajar pun menjelma. Sementara berbuka hendaklah disegerakan apabila telah yakin terbenam mata hari di ufuk barat.
Tidak terlalu banyak makan apabila berbuka, kerana ia boleh menganggu daripada memperolehi fadilat solat Maghrib pada awal waktu.
Berdoa sebelum berbuka seperti : “Allahumma laka sumtu wabika amantu wa ‘ala rezkika aftortu.” Yang bermaksud: Ya Allah ya Tuhanku, keranamu aku berbuka, denganmu aku beriman, dan di atas rezekimu aku berbuka. (laka sumna – jika untuk ramai)
Berbuka secara ringkas sama ada dengan buah tamar atau air dingin, supaya dapat bersegera untuk melaksanakan solat Maghrib. Sunat berbuka dengan tamar kerana tamar yang manis memberi tenaga setelah berlapar sepanjang hari, begitu juga air mengandungi mineral yang diperlukan tubuh manusia setelah ketiadaan air pada badan sepanjang hari.
Antara perkara sunat perlu diutamakan ialah bermurah hati pada bulan Ramadan, memeriahkan bulan tersebut dengan amalan sunat bersedekah meskipun hanya dengan sebiji kurma.
Bulan Ramadan dikenali sebagai bulan ‘tarbiyah,’ untuk tujuan tersebut sewajar disuruh anak-anak kecil untuk menghantar apa jua barang sedekah.
Agar anak kecil terdidik pada bulan Ramadan sebagai bulan pemurah, sejak kecil terasuh agar lekat perangai suka memberi sesama jiran dan kerabat terdekat.
Semarakkan Ramadan dengan membaca dan tadarrus al-Quran, terutama pada waktu malam sebagai menghidupkan malam bulan Ramadan, agar syiar Ramadan dapat dirasai berbeza dengan bulan selainnya.
Disunatkan beriktikaf dalam masjid terutama pada 10 hari yang terakhir. Iktikaf bererti berada di rumah Allah swt dengan zikrullah iaitu membaca al-Quran dan lainnya sebagai suatu ibadah.
Sesungguhnya berada di rumah Allah swt bererti telah usaha mendekat dan merapatkan diri kepada –Nya. Tetap berkekalan niat dengan maksud iktikaf selama masih berada dalam masjid. Apabila keluar terus meninggalkan masjid maka berakhirlah maksud iktikaf.
Kecuali kerana menunaikan hajat manusia seperti mengajar ilmu agama, atau untuk memberi pertolongan sesuatu kecemasan dan sebagainya.
Tidak mengapa beriktikaf di masjid dengan memakai wangi-wangian dan juga mengadakan majlis akd nikah, ataupun makan dan minum seperti majlis berbuka puasa.
Tidak terkeluar daripada niat iktikaf disebabkan tidur atau pergi basuh tangan, kerana semua itu menjadi keperluan hidup manusia umumnya.
Sesungguhnya puasa itu mempunyai tiga peringkat. Pertamanya, puasa orang awam, kedua puasa khusus iaitu puasa orang yang mempunyai ilmu pengetahuan agama, ketiga puasa khusus al khusus iaitu puasa para wali Allah.
Puasa awam ialah sekadar tidak makan minum dan tidak memenuhi kemahuan syahwat jantina pada siang hari. Inilah puasa taraf paling rendah di kalangan orang awam. Adapun puasa khusus ialah puasa seluruh anggota, termasuk mata tidak dibenar memandang perkara yang terlarang.
Telinga dihalang daripada mendengar perkara yang tidak mendatangkan kebaikan. Lidah ditegah daripada menuturkan perkara yang lagho apatah lagi yang maksiat dan sia-sia.
Tangan dan kaki serta sebarang anggota yang boleh mendatangkan dosa dikehendaki berpuasa juga. Puasa khusus al khusus selain tidak makan dan minum, juga tidak menuruti kehendak syahwat di siang hari Ramadan. Turut dikawal ialah akal fikiran, dihalang daripada memikirkan perkara yang tidak berfaedah kepada diri dan agama.
Begitu juga hati dan perasaan disekat dengan puasa daripada segala perasangka buruk dan sifat-sifat mazmumah, seperti perasaan mengingini sesuatu yang bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam.
Sebaliknya digunakan sepenuhnya akal dan fikiran serta perasaaan untuk memikirkan ke-Esaan Allah dan ke-Adilan-Nya, memikirkan dosa yang telah dilakukan sedangkan amal pahalanya berkurangan.
Ke mana kesudahan diri sebagai hamba Allah, sedangkan syurga dan neraka sedang menanti dirinya. Selama sebulan berpuasa tetapi adakah dia memikirkan sebanyak mana pahala yang telah terhimpun, sebanyak mana dosa yang telah terhindar dengan kehadiran 10 malam terakhir.
Adakah dia berjaya menggunakan akal fikirannya secara total, untuk tidak memikirkan benda-benda selain daripada Allah SWT. Adakah dia telah melakukan ikhtiar untuk mencapai segala kemuliaan yang dikurnia kepada para wali Allah, kerana para wali itu terdiri dari jenis manusia juga.
Tetapi dengan sebab para wali Allah itu manhendaki sesuatu kemuliaan si sisi Tuhan, dia berusaha sepenuh jiwa maka segala hajatnya telah dipenuhi oleh yang Maha Esa.

No comments:

Post a Comment