Thursday, June 24, 2010

BIRO AGAMA

MASALAH BAPA SUKA BERCAKAP BOHONG

Persoalannya

Anggota keluarga kami ramai, kebanyakkannya mempunyai kerjaya yang baik, kami amat bahagia. Cuma ada masalah yang makin ketara dan membimbangkan kami. Orang tua kami suka bercakap yang tidak benar dengan kata lain, dia sudah menjadi pembohong. Kami semua sedar semua ini. Hendak kami nasihat, dia adalah bapa dan tidak mungkin dia menerima, bahkan akan mengundang padah. Kami buat keputusan meminta nasihat ustaz.

Jawapannya

NILAI manusia adalah pada akhlaknya, Tinggi akhlaknya, maka tinggilah juga nilai dirinya. Bukan shaja pada pandangan manusia, malahan pada sisi Allah SWT. Demikianlah sebaliknya.
Salah satu daripada ukuran utama ketinggian akhlak seseorang itu adalah berdasarkan budi bahasanya dan tutur katanya. Jika elok semuanya itu, maka InsyaAllah eloklah semuanya. Dia akan dihormati dan disegani.
Apabila insan, sampai ke tahap pembohong atau pendusta, maka hidupnya akan berubah. Nilai dirinya turun dan harga dirinya hampir tidak ada. Berkata benar adalah perkara asas yang dituntut oleh Islam terhadap umatnya. Oleh kerana itu wajib bagi Rasulullah s.a.w. bersifat benar yang disebut ‘Sidiq’.
Malah kita juga diwajibkan bercakap benar. Lawan bercakap benar adalah berbohong. Berbohong adalah haram. Orang yang suka bercakap bohong adalah orang yang boleh digolong ke dalam golongan yang ‘sakit jiwa’.
Orang seperti ini sentiasa berasa kekurangan yang amat sangat pada dirinya, lalu cuba mengatasi dengan berbohong. Tetapi dia tidal sedar dengan berbuat demikian, bukan sahaja boleh menyelesaikan permasalahan dirinya, malah akan lebih parah sehingga menjadi hilang harga diri dan merudum personalitinya.
Oleh kerana itu, atasilah masalah ini dengan memperbaiki sikap negatif seperti di atas dengan cuba bersifat positif dalam semua perkara. Berbohong adalah sifat yang amat negatif. Apabila seseorang berbohong tentang sesuatu perkara, maka banyak perkara lagi yang dia akan berbohong untuk menutup pembohongan yang pertama tadi.
Di dalam al-Quran, Allah SWT amat mencela si pembohong dengan menganggapnya sebagai orang yang tidak beriman. Firman Allah SWT mafhumnya : “Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itu orang-orang yang tabiat berdusta.” (surah an-Nahl ayat 105).
Firman Allah mafhumnya : “Celaka besar, pada hari (hari kiamat) itu, bagi orang-orang yang mendustakan. Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan.” (Surah al-Mutaffifiin ayat 10-11). Didalam hadis, banyak terdapat hadis yang mencela pembohong-pembohong.
Antaranya, sabda Rasulullah s.a.w (mafhumnya) : “Tanda seseorang itu munafik ada tiga, apabila dia bercakap dia bohong,apabila dia berjanji dia mungkiri, apabila diberi amanah, dia khianatinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w menganjurkan kepada umatnya supaya bercakap benar dan jangan berbohong kerana berbohong boleh membawa padah. Padah bukan sahaja di dunia, malah yang amat teruk nanti ialah di akhirat.
Dalam satu hadis daripada Ibnu Mas’ud, Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya) : “Hendaklah kamu sentiasa bercakap benar kerana benar itu membawa kepada kebaikkan dan kebaikkan itu membawa ke syurga. Dan jaga-jagalah kamu, jangan bertutur bohong kerana bohong itu membawa kepada dosa dan dosa itu membawa kamu ke neraka.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada hari kiamat nanti Rasulullah s.a.w pernah menyebut dalam satu hadis sahih (mafhumnya) : “Ada tiga golongan manusia, di akhirat nanti, Allah tidak mahu melihat mereka dan tidak mengampunkan dosa mereka dan bagi mereka seksa yang amat dahsyat. Pertama, orang tua penzina. Kedua, pemerintah atau ketua yang pembohong. Ketiga, orang miskin yang takbur”. (Riwayat Muslim).
Tiga golongan ini adalah golongan yang akan tersingkir, terhina dan terseksa di akhirat nanti. Salah satu daripada tiga golongan ini, pemerintah atau ketua adalah pembohong. Boleh kita fahami bersama bahawa bapa sebagai ketua keluarga adalah juga pemerintah atau ketua rumah tangga, sepatutnya dia menjadi contoh yang baik untuk seisi keluarga.
Dia harus bercakap benar dan mendidik anak-anak supaya bercakap benar, jika sebagai ketua keluarga bercakap bohong, apalah untung yang ada pada kita? Apakah keseronokkan berbohongitu menghindarkan diri daripada dosa dan neraka? Tentulah tidak pulang modal. Oleh itu, saya menasihati dalam kes seperti ini, insaflah diri, ubahlah kelakuan dan tutur kata. Sentiasalah bercakap benar. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment