Tuesday, June 1, 2010

BIRO AGAMA

Kenali Tokoh Agama

Syed Ahmad Semait Bela Islam Melalui Penulisan

PELBAGAI cara boleh dilakukan oleh individu Muslim bagi menyebarkan ajaran Islam kepada umum, sama ada melalui seruan dakwah di masjid-masjid, surau-surau, di tempat-tempat perhimpunan dan sebagainya. Begitu juga ada yang menyampaikan mesej Islam melalui media massa cetak atau eletronik dan tidak kurang juga melalui hasil karya dan penulisan bahan-bahan ilmiah.
Apa pun Islam tidak sama sekali menghalang mana-mana individu muslim untuk menggunakan pelbagai medium bagi menyampaikan risalah Islam untuk pengetahuan umum, selagi mana mereka bernama manusia, selagi itulah dakwah tetap perlu disampaikan dengan penuh hikmah dan bijaksana.
Inilah hakikat agama Islam, ia tetap memperakui sumbangan dakwah walaupun oleh individu yang tidak pernah disebut-sebut atau disanjung melambung, namun sumbangannya dianggap sebagai jasa dan bakti yang akan ditulis di sisi Allah SWT sebagai amal salih selagi ia dilakukan ikhlas keran-NYA.
Demikianlah apa yang dilakukan oleh Ustaz Syed Ahmad Semait untuk mendapat disisi Allah di alam baqa nanti melalui bidang akademik yang diceburinya.

Mengenali lebih dekat Ustaz Syed Ahmad Semait

Nama sebenarnya ialah Syed Ahmad Bin Muhammad Semait dilahirkan di Singapura pada hari Isnin pada 29 Rabiulawal 1352 bersamaan dengan 21 Ogos 1933 daripada keluarga Arab Yaman yang mana ayahnya pernah bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat tanah estet dan bergiat aktif dalam Persatuan Arab Singapura, sementara ibunya berasal dari Kemaman, Terengganu.
Ustaz Syed Ahmad mempunyai dua adik-beradik lelaki dan perempuan daripada perkahwinan pertama ibunya dan memiliki tiga adik-beradik lelaki dan dua perempuan daripada satu ibu dan ayah.
Pada usia 12 tahun, Ustaz Syed Ahmad kematian ayahnya tercinta yang merupakan tonggak kekuatan ekonomi keluarga, tanpa bantuan daripada mana-mana pihak dalam membantu membesarkan beliau serta adik-beradiknya, sanak saudara terdekat mencadangkan agar beliau dan adik bongsu iaitu Syed Isa (Mufti Singapura sejak 1970 – kini) menetap di rumah anak-anak yatim yang dikenali waktu sebagai Malja’al-Aitam yang akhirnya ditukar kepada Darul Ihsan.
Suasana baru di tempat rumah anak-anak yatim itu tidak membantu beliau dan adiknya untuk meneruskan pengajian, maka Ustaz Syed Ahmad mengambil keputusan untuk bekerja sementara bagi meringankan bebanan keluarga yang ditanggung oleh ibunya.
Walau bagaimanapun beliau mendapatkan pendidikan secara percuma (kerana ia wakaf) di Madrasah Aljunied Al-Islamiah (satu-satunya sekolah agama di Singapura yang melayakkan pelajarnya melanjutkan pelajaran di Universiti timur tengah kerana semua subjek diajar dalam bahasa Arab).
Ustaz Syed Ahmad adalah di antara pelajar cemerlang pada zamannya, beliau bersekolah pagi di Madrasah Aljunied dan sebelah petangnya pula belajar di Raffles Institution yang menempatkan pelajar-pelajar cemerlang dalam bidang pengajian akademik. Setelah tamat dalam tahap enam, beliau tidak menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi kerana kesuntukan kewangan dan bekerja sepenuh masa di sebuah kedai kain terkemuka yang dimiliki oleh Syeikh Umar bin Abdullah al-Khatib yang juga tokoh ulama terbilang di Singapura.
Walau bagaimanapun minatnya yang mendalam dalam menimba ilmu terus membara dalam sanubarinya, pada waktu siang bekerja dan sebelah malamnya pula beliau mengikuti pengajian agama secara tradisional (semacam pengajian pondok di Negara Arab) daripada pengetua Madrasah Aljunied iaitu Syeikh Abdullah Balfaqeh yang merupakan ulama yang didatangkan khas daripada Hadramaut, Yaman.
Pada hujung minggu pula, beliau mengikuti pengajian dengan membaca kitab-kitab turath (lama/kuning) dalam pelbagai displin ilmu seperti tafsir, hadis, fiqh, tasawwuf dan sebagainya daripada Syeikh Umar bin Abdullah al-Khatib pemilik kedai kain yang beliau bekerja dengannya.
Syeikh Umar menerimanya bukan sekadar seorang pekerjanya, tetapi pada masa yang sama mengiktirafnya sebagai salah seorangnya yang amat cemerlang dan mencurahkan segenap ilmu yang ada padanya kepada Ustaz syed Ahmad. Walaupun Syeikh Umar telah meninggal dunia lebih sedekad lalu iaitu pada 22 September 1997, namun kelas-kelas yang pernah dikendalikannya masih tetap utuh dan berjalan seperti biasa sampai hari ini, termasuk adiknya Mufti Singapura, Syed Isa Semait.
Penglibatannya dalam kelas-kelas yang menggunakan kitab turath dalam bahasa Arab, telah memberikan kepadanya ilham untuk membanyakkan kitab-kitab tersebut dalam pelbagai disiplin ilmu untuk disalurkan kepada madrasah-madrasah yang mengajarkan subjek agama dalam bahasa Arab.

Memulakan kerjaya dalam perniagaan buku-buku Arab

Minat Ustaz Syed Ahmad dalam perniagaan buku-buku agama dalam bahasa Arab semakin mendalam, beliau cuba untuk mengembangkan perniagaan tersebut bersama seorang adiknya yang lain iaitu Syed Umar Semait. Pada 1950, beliau meletakkan jawatan sebagai pekerja di kedai kain gurunya bagi memulakan perniagaan menjual buku-buku rujukan agama Arab dengan syarikatnya yang dikenali sebagai Al-Maktabah At-Tijariah Asy-Syarqiah.
Pada 1957, Ustaz Syed Ahmad bersama Kiayi Zuhri Mutamin, mantan Mudir Madrasah aAljunied, Ustaz Ahmad Sonhadji Mohammad telah mengasaskan PERGAS (Persatuan Guru-guru Agama Singapura) yang bertujuan untuk menyatu-padukan fikrah para alim ulama khususnya di Singapura.
Penglibatan dalam perniagaan buku-buku Arab adalah untuk menampung keperluan keluarga termasuk ibunya, serta untuk menanggung adiknya Syed Isa yang sedang menyambung pelajaran di Universiti al-Azhar dan menjadikan adiknya itu sebagai wakil syarikatnya mengendalikan buku-buku agama Artab di Kaherah, Mesir.
Perniagaannya semakin maju dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat yang menyokong usahanya itu. Walau bagaimanapun Ustaz Syed Ahmad memikirkan bagaimana bahan-bahan agama itu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat Melayu-Islam di Singapura, maka beliau menubuhkan pustaka nasional sampai ke hari ini bagi menyediakan buku-buku ilmiah agama dalam bahsaa Melayu dan berhasrat untuk menjatukan syarikatnya itu sebagai medium dakwah.
Beliau memulakan penulisan buku-buku agama di samping aktif menterjemah buku-buku agama ilmiah yang disusun oleh ulama-ulama terkemuka seperti Syeikh Ibnul Qaiyim al-Jawziyyah, Ibnu Kathir dan jkuga tokoh-tokoh penulis terkenal dari Indonesia termasuk penulis-penulis tempatan.

No comments:

Post a Comment