Monday, July 12, 2010

BIRO AGAMA

MASALAH DI AKHIR ZAMAN ISLAM KEMBALI MENJADI DAGANG

Persoalannya

Ada hadis yang menyatakan bahawa Islam itu mulanya ganjil atau dagang dan akhirnya akan kembali menjadi dagang. Adakah ini bermakna, Islam itu bermula dengan seorang (ghariban) dan akhirnya Islam itu akan dagang seperti datangnya. Ertinya seorang sahaja yang Islam, yang lainnya kufur. Betulkah itu maknanya? Itulah yang saya dengar menerusi kuliah agama. Mohon penjelasan daripada ustaz.

Jawapannya

HADIS yang anda rujuk adalah hadis sahih daripada Abu Hurairah r.a., beliau mendengar Junjungan Besar nabi Muhammad s.a.w. bersabda (mafhumnya): “Islam itu mulanya dagang (ghariban) dan akan kembali akhirnya dagang ghariban). Maka berbahagialah orang-orang yang dagang ketika itu”. (riwayat Iman Muslim).
Islam itu dimulakan dengan seorang, iaitu Rasul yang mengimaninya, seolah-olah dagang ataupun sebatang kara, kerana ianya bermula dengan seorang.
Kemudian Islam itu berkembang dan dianuti oleh ramai penganut seperti yang dapat kita saksikan hari ini.
Akan tetapi, di akhir-akhir nanti, Islam menjadi dagang. Tetapi ia tidaklah bermakna seorang sahaja yang Islam.
Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w. dalam bahasa Arab menyebut sebagai ‘ghurabak’. Perkataan ini adalah perkataan jamak atau ganda, yang bererti banyak.
Ia menunjukkan bahawa, bukan seorang saja yang tinggal ketika itu, tetapi ramai.
Istilah ghurabak dalam hadis ini, ada makna khusus baginya, yang disebut dalam hadis-hadis sahih yang seumpama dengannya.
Seperti dalam satu hadis (mafhumnya) : “Ada sahabat yang bertanya Rasulullah s.a.w “Siapakah dia ghurabak itu ya Rasulullah? Lalu baginda menjawab, :Iaitu mereka yang terus-menerus konsisten melakukan kebaikan di waktu manusia lain asyik melakukan kejahatan.”
Dan ada riwayat lain yang menyebut (mafhumnya): “Ghurabak itu ialah mereka-mereka yang terus-menerus bertugas memperbaiki segala kerosakkan yang dilakukan oleh manusia lain terhadap sunnah Rasulullah s.a.w.”
Ada riwayat lain yang juga sahih yang menyebut (mafhumnya): “Ghurabak itu ialah oran-orang yang baik-baik, tetapi sedikit. Di samping orang ramai yang jahat itu banyak”.
Ghurabak dalam hadis ini, jelas menunjukkan keadaan manusia di akhir zaman yang majoritinya gemar melakukan yang dilarang oleh Islam, melanggar hukum dan merobek sunnah.
Sedangkan yang mematuhi hukum dan mengamal dan mempertahankan sunnah itu sedikit, yang merosakkannya ramai.
Hadis-hadis ini sebenarnya menggambarkan fenomena Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dalam konteks permulaannya di Makkah al-Mukarramah dan perkembangan seterusnya, menepati apa yasng berlaku hari ini.
Islam di Makkah seolah-olah ganjil, dagang, tersisih dan amat sedikit yang mendukungnya. Akan tetapi Islam berkembang, diterima ramai dan diimani dalam bentuk yang amat menggalakkan.
Seperti firman Allah (mafhumnya): “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). “Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai.- “Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNYA, sesungguhnya DIA amat menerima taubat. (surah an-Nasr, ayat 1-3).
Setelah Islam berkembang dan memperolehi kejayaan demi kejayaan, sehingga dapat menguasai separuh daripada dunia ini, menerima dan melaksanakan Islam, akan tiba di suatu masa nanti Islam itu akan malap dan kurang menyerlah.
Akan tiba di saat Islam dihimpit, dibenam dan ditindas oleh musuh , maka berlakulah zaman kemurungan dan kurang upaya menghadapi musuh yang licik dan rakus, maka Islam akan menjadi lemah.
Dalam hadis-hadis yang banyak, termasuk firman Allah (mafhumnya): “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa IA akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintah di bumi, sebagaimana IA telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa; dan IA akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredaiNYA untuk mereka; dan IA juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKU dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKU. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (surah an-Nuur, ayat 55).
Semua ini menyatakan bahawa Islam akan bangkit kembali dan menerajui dunia. Islam akan menjadi tuan kepada perubahan dan memegang tampuk pemerintah, merubah dunia yang kufur kepada iman dan dari tidak Islam kepada Islam yang sebenarnya.
Di waktu itulah perjuangan sengit berlaku, di mana majoriti manusia tidak gemar kepada Islam, tetapi pasti ada kelompok yang terus memperjuangkan al-haqqu atau al-Islam yang sebenar.
Waktu inilah gambaran yang disebutkan oleh ayat al-Quran dan hadis, benar-benar berlaku. Itulah maksud yang dikehendaki oleh hadis yang anda soalkan. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment